Nicholas menjadi buruan Kedah?

Khamis 6 Mei 2021 17:36

Kehadiran Nicholas Swirad semasa perlawanan Liga Super di antara Kedah Darul Aman dan Johor Darul Ta’zim telah menjadi perbualan penyokong.

Pemain Malaysia yang berasal dari England itu kelihatan duduk di tempat penyokong di Stadium Darul Aman. Memandangkan perlawanan pada hari Selasa itu dijalankan tanpa penonton, sudah tentunya Nicholas tidak boleh masuk stadium tanpa kebenaran rasmi.

Nicholas kini tanpa pasukan setelah menamatkan kempen Thai League 2 bersama Nongbua Pitchaya bulan lepas. 

Semasa dua bulan bersama Nongbua, bekas pemain Melaka, PKNS dan Selangor itu telah membantu kelabnya menjadi johan Thai League 2 dan menempah tiket untuk bermain di liga utama Thailand pada musim akan datang. 

Kemunculan pemain berusia 29 tahun itu di Alor Setar menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan penyokong Kedah.

Ada kemungkinan yang Kedah inginkan khidmat Nicholas untuk memperkuatkan benteng pertahanan mereka yang sering dilanda masalah kecederaan musim ini.

Ataupun pemain pertahanan itu cuma singgah di situ untuk menyokong dua bekas rakan sepasukannya semasa di PKNS – Kpah Sherman dan Rodney Calvin, yang kini beraksi untuk Sang Helang.

Sekiranya memang Nicholas akan menyarung jersi Kedah untuk baki permainan musim ini, ia akan dilihat sebagai satu langkah positif, lebih-lebih lagi selepas pemain itu telah menambah ilmu dan pengalaman di Thailand.

Artikel Berkaitan

JDT bangkit tundukkan Kedah

10:20 05-10-2022

Kedah sasar kebangkitan ke atas Sabah

09:47 17-08-2022