Nafuzi puji trio jentera tengah

Jumaat 6 Ogos 2021 09:28

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui trio pemain tengah import memainkan peranan penting dalam mengawal persembahan pasukan ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas PJ City dalam aksi Liga Super Rabu lalu

Jelasnya, gandingan tiga pemain import iaitu Dechi Marcel, Makan Konate dan Habeeb Haroon di bahagian tengah dianggap sebagai nadi utama yang sentiasa bijak mengawal corak permainan untuk membantu rakan sepasukan baik di pertahanan dan serangan.

Apatah lagi, selepas mereka seri dan tewas dan dua perlawanan terdahulu, Nafuzi menganggap kebangkitan yang ditampilkan oleh anak buah benar-benar di luar jangkaan walaupun rata-rata pemain sudah agak kepenatan pada separuh masa kedua perlawanan.

“Bagi saya, bahagian tengah merupakan enjin kepada pasukan kerana kalau mereka dapat bermain dengan baik, yang lain juga akan dapat beri persembahan yang baik.

“Ketiga-tiga pemain ini memang penting kerana mereka dapat mengawal corak permainan, menggerakkan pasukan, dan membantu juga dari segi bertahan dan menyerang, jadi mereka betul-betul jadi peranan untuk pasukan.

“Apa-apa pun, tahniah saya ucapkan kepada semua pemain yang bekerja keras selepas tiada jaringan dilakukan dalam dua aksi sebelum ini, dan mereka tetap bermain dengan baik walaupun pada minit-minit terakhir untuk menjaringkan gol.

“Sepertimana penyerang, David Da Silva, saya tahu kualiti yang ada pada dia dan apabila saya tengok dia bermain malam ini, saya percaya dia boleh menjaringkan gol, cuma kalau nak melakukan jaringan, ia bukan bergantung kepada dia seorang, tetapi kepada orang lain juga”, jelasnya.


(Foto Terengganu FB)