JDT hampiri kejuaran Liga Super

Isnin 9 Ogos 2021 09:45

Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampiri kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut selepas mudah menewaskan Sabah 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Dua gol Bergson Da Silva pada babak pertama minit ke-18 dan ke-20 menyaksikan skuad Harimau Selatan merangkul mata penuh dan pemain Brazil itu muncul sebagai pendahulu carta penjaring terbanyak liga Super dengan 19 gol.

JDT menguasai perlawanan di halaman sendiri pada babak permata dan memaksa skuad Badak berkampung di kawasan mereka tetapi Da Silva membuktikan kemampuannya dengan dua goal dalam masa yang singkat untuk merobek gawang Sabah.

Peluang terbaik untuk Sabah mengurangkan jurang gol muncul pada minit ke-28 selepas bola sepakan percuma kapten Risto Mitrevski dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gawang penjaga gol JDT, Farizal Marlias berjaya menepis bola keluar.

Aksi babak kedua yang disambung jelas dikuasai skuad Harimau Selatan yang bertali arus menggempur benteng skuad Tambadau tapi Safawi Rashid terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-60 selepas bola sepakan percuma dari luar kotak penalti sekadar melepasi palang gol.

Walaupun mengasak ke kubu anak didik Kurniawan Dwi Yulianto, skuad Harimau Selatan gagal menambah jaringan dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.


(Foto Johor Southern Tigers FB)

Artikel Berkaitan

JDT bangkit tundukkan Kedah

10:20 05-10-2022

TMJ: Sama ada Perak kaya atau LTK tiada kerja

09:20 21-09-2022