Jangan fokus pada Lewandowski sahaja: Southgate

Selasa 7 September 2021 10:20

139

Pengurus England Gareth Southgate tidak mahu anak buahnya hanya fokus kepada kelibat Robert Lewandowski menjelang pertembungan kelayakan Piala Dunia dengan Poland, Khamis ini.

Lewandowski menyumbat tiga gol kemenangan Poland ke atas Albania dan San Marino minggu lalu untuk mengumpul 72 gol buat negaranya dalam 124 penampilan.

Dia turut mencatat rekod baru untuk gol terbanyak yang pernah dijaringkan dalam kempen semusim Bundesliga (41) dan penyerang produktif itu juga dalam prestasi terbaik dalam musim ini.

Penyerang Bayern Munich itu tercedera ketika Poland tewas 1-2 di Wembley pada Mac lalu tetapi kali ini dia cergas sepenuhnya untuk pertemuan di antara kedua-dua pasukan teratas Kumpulan I.

Southgate menegaskan Poland tidak bergantung kepada Lewandowski, seperti yang dibuktikan oleh pasukan bimbingan Paulo Sousa itu dalam perlawanan timbal balik enam bulan lalu.

"Mereka beraksi di Wembley tanpanya dan mereka memberikan persembahan yang sangat baik. Kami menjaringkan gol lewat permainan untuk memenanginya," kata Southgate.

"Kehilangan pemain handalan untuk mana-mana pasukan di dunia ini tentunya satu kerugian dan setiap pasti jurulatih akan berasakan hal yang sama."

"Tetapi ketika kami mempersiapkan pasukan untuk menentang Poland, kami tidak memberi perhatian kepada Lewandowski semata-mata.

"Kami amat menghormati apa yang mampu dilakukannya dan kami sedar ancamannya, tetapi mereka juga mempunyai beberapa pemain lain yang sangat berbahaya."

(Foto Robert Lewandowski FB)