Dominic Tan impi J-League sebelum kembali ke tanah air

Khamis 11 Mac 2021 16:29

Lebih setahun berkelana di Thailand, pemain pertahanan negara Dominic Tan berkongsi impiannya untuk melangkah lebih jauh.

Pemain berusia 23 tahun ini terbang ke Thailand untuk bersama kelab Police Tero FC pada 2019 yang merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk pemain-pemainnya.

Berkongsi pengalamannya yang lebih setahun berada di Thailand, Dominic mengakui dia sangat gembira dengan kelab ini.

"Tiada apa yang kurang dari segi latihan dan sebagainya. Saya dikira sangat bertuah kerana dapat belajar dengan dua buah kelab yang kuat. Sebelum ini ketika bersama JDT semuanya juga lengkap. Semua ada.

"Pengalaman dari kedua-dua kelab ini amat berguna untuk saya untuk menjadi pemain lebih baik.

"Apabila bermain dengan pasukan luar negara, sudah tentu saya mahu menunjukkan prestasi terbaik. Sokongan daripada jurulatih dan kawan-kawan membuatkan saya sudah selesa berada di sini," ujar Dominic kepada MAXGOAL SPORTS.

Dalam pada itu, Dominic berkongsi impiannya untuk bermain dalam Liga Jepun (J-League) satu hari nanti.

"Buat masa sekarang misi saya adalah untuk bermain di J-League. Tidak kira liga berapa, asalkan bermain di sana. Bagi saya budaya bola sepak Jepun sangat berbeza dengan dengan Malaysia dan Thailand. 

"Memang target saya nak ke sana selepas ini (selepas bermain di Thailand). Namun saya sedar bukan mudah untuk ke Jepun, tetapi ia tidak mustahil jika saya terus berusaha. Ia juga memerlukan masa untuk melengkapkan diri ke fasa seterusnya.

"Sebab itu, dalam tempoh terdekat ini saya tidak bercadang untuk kembali bermain di Liga Malaysia lagi.

"Kontrak dengan kelab ini tamat Mac tahun depan, tetapi selebih saya belum pasti. Kalau boleh memang saya mahu terus berada di sini," jelasnya lagi.

Mengenai prestasi semasa, Dominic yang kini sudah boleh bertutur dalam bahasa Thai memberitahu, dia terpaksa lupakan empat baki saingan liga musim ini kerana berdepan dengan kecederaan di bahagian buku lali kirinya.

"Masih dalam sesi pemulihan selepas pembedahan baru-baru ini. Saya tidak mahu terlalu 'push' untuk cepat sembuh memandangkan setiap kecederaan memerlukan tempoh tertentu.

"Keadaan ini menjadikan saya terpaksa melupakan aksi baki perlawanan yang akan berakhir hujung bulan ini," jelasnya.

Untuk rekod kelab Police Tero FC atau dikenali BEC Tero Sasana FC sebelum ini kini menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Thai, mengumpul 35 mata dalam 26 perlawanan dan masih mempunyai 4 baki perlawanan sebelum musim berakhir pada 28 Mac ini.

Artikel Berkaitan

Pan Gon puji semangat juang anak buah

09:18 26-09-2022

Pan Gon mahu kutip maklumat tambahan

09:32 22-09-2022