Dominic Tan tiup lilin hari lahir ke-24 di Bangkok

Jumaat 12 Mac 2021 15:56

Pemain pertahanan Police Tero, Dominic Tan menyambut hari lahir yang ke-24 tanpa keluarga tersayang di sisi.

Jelas pemain kelab Liga Perdana 1 Thai ini, perasaan rindu sudah tidak ada dalam kamus hidupnya selepas lebih setahun menjadi penghuni di Bangkok.

"Mula-mula tiba di sini memang agak janggal kerana berjauhan dengan keluarga dan kawan-kawan.Selalu rasa 'homesick'.

"Tetapi lama-kelamaan saya sudah biasa tinggal berseorangan di sini. Tambahan pula semua rakan pasukan menerima kehadiran saya dengan baik.

"Memang sudah agak lama saya tidak pulang ke Malaysia. Tahun lepas juga tidak boleh balik kerana pandemik Covid-19.

"Mungkin saya akan balik bercuti selepas musim liga ini tamat. Kami diberi rehat selama dua minggu. Tengok dulu macam mana," jelasnya kepada MAXGOAL SPORTS.

Mengenai kehidupan di Bangkok, Dominic memberitahu tidak banyak beza dengan Malaysia.

"Saya dapat membiasakan diri dengan baik dan tidak susah untuk mencari makanan. Semua makanan di sini saya suka.

"Sekarang saya sudah boleh bercakap bahasa Thai dan ia lebih mudah untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan pasukan.

"Saya mengambil inisiatif sendiri untuk belajar dan mereka (rakan-rakan pasukan) juga turut membantu," tambah Dominic yang turut menyambut hari lahirnya seorang diri di Bangkok tahun lalu.

Selamat Hari Lahir Dom!

(Foto: Instagram Dominic Tan)