Krisis kecederaan Sabah hantui Kim Swee

Isnin 11 Oktober 2021 17:48

76

Ketua jurulatih Sabah Datuk Ong Kim Swee mengakui ketiadaan penyerang, Saddil Ramdani akibat kecederaan memberi kesan kepada pasukan sekali gus mengharapkan sentuhan pemain muda dalam saingan Piala Malaysia, musim ini.

Pemain import dari Indonesia itu mengalami kecederaan pangkal peha yang serius dan terpaksa melupakan pentas Piala Malaysia apabila perlu menjalani proses pemulihan sekurang-kurangnya tiga bulan.

Namun, Kim Swee percaya taruhan pemain muda seperti Harith Naem Jaineh mampu mengisi posisi yang ditinggalkan itu untuk memperkuatkan pasukan apabila dia pernah diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama ketika perlawanan kedua Piala Malaysia menentang Kelantan tempoh hari.

“Sekarang, bukan Saddil sahaja yang cedera, kita ada pemain lain juga yang masih berdepan kecederaan seperti Maxsius Musa dan Rawilson Batuil di mana ini akan memberi impak juga kepada kita.

“Namun, saya percaya pemain-pemain muda akan mampu ambil alih tugas yang akan diberikan termasuklah pemain senior seperti Amri Yahyah, Nazirul Naim dan N.Thanabalan dapat bantu beri pendedahan yang baik kepada pemain muda ini.

“Cuma sekarang, kita tidak mensasarkan apa-apa untuk layak ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi mestilah apabila bersaing dalam setiap kejohanan, kita perlu tunjuk prestasi yang baik dan semua maklum apabila saya datang ke Sabah adalah untuk pastikan kita mempunyai daya saing yang amat baik.

“Saya tidak boleh katakan kita tak mampu layak atau kita mampu layak sejauh mungkin dalam Piala Malaysia sebab apabila saya hadir di sini adalah untuk memastikan pemain kekal fokus dan kenal pasti setiap kelemahan bagi kita sama-sama perbaiki untuk bersedia pada musim akan datang”, jelasnya.

Kim Swee dilantik sebagai pengendali baharu Sabah bagi menggantikan jurulatih dari Indonesia Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan susulan kemerosotan prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Sabah  kini menduduki tangga kedua Kumpulan D TM Piala Malaysia dengan dua mata setakat ini selepas seri dalam dua perlawanan terdahulu selain Johor Darul Ta’zim (JDT) di kedudukan teratas.

Manakala PJ City dan Kelantan pula masing-masing belum meraih sebarang kemenangan dan hanya mengumpul satu mata sahaja setakat ini.

(Foto Sabah FC FB)