Jerman sahkan tiket ke Qatar 2022

Selasa 12 Oktober 2021 10:10

58

Jerman meneruskan rekod tanpa gagal ke Piala Dunia di bawah jurulatih baru Hansi Flick dan mengesahkan tempat ke Qatar 2022 selepas menumpaskan Macedonia Utara 4-0.

Selepas beberapa bulan di atas kekalahan mengejut 1-2 kepada lawan yang sama di laman sendiri, Jerman kali ini berjaya mendominasi perlawanan untuk mencatat kemenangan di Skopje bagi meneruskan penguasaan selaku pendahulu Kumpulan J dengan kelebihan lapan mata.

Penyerang Chelsea, Timo Werner meledak dua gol manakala rakan sepasukannya bersama the Blues, Kai Havertz turut mencetak nama sebagai penjaring gol dan Jamal Musiala meledak gol antarabangsa pertamanya tatkala Jerman mencatat kemenangan kelima daripada lima aksi di bawah Flick yang menggantikan Joachim Loew selepas Euro 2020.

Jurulatih berusia 56 tahun itu berkata, Jerman yang juga juara Piala Dunia 2014 masih lagi perlu menempuh perjalanan berliku namun mengakui pasukannya mampu untuk bersaing dengan negara terbaik di dunia.

"Pemain kami mempunyai kualiti untuk berdepan Perancis, Itali dan Belgium. Saya sangat optimis," katanya.

Pemain tengah, Leon Goretzka juga yakin dengan kemampuan Flick untuk membawa Jerman ke peringkat lebih jauh di Piala Dunia selepas gagal melepasi pusingan awal dalam dua kejohanan terbesar sebelum ini.

"Kami masih lagi perlu mempertingkatkan prestasi untuk kembali ke puncak," katanya.

Werner pula berkata kepercayaan Flick terhadapnya membantu untuk dia menepis kritikan di atas prestasinya dalam beberapa bulan sebelum ini.

"Apabila jurulatih suka dan percaya anda, ia akan membantu sesiapa saja termasuk saya. Saya perlukan kepercayaan itu dan Flick memberikan kepada saya 100 peratus," katanya.

(Foto Germany Football Team - Die Mannschaft FB)

Artikel Berkaitan

Duka dalam suka buat Chelsea

09:39 21-10-2021

28

Muka baru bantu Jerman menyinar

10:07 06-09-2021

192