Amer mahu tamatkan penantian 47 tahun Penang

Selasa 12 Oktober 2021 16:54

50

Pemain sayap Penang Mohammad Amer Azahar berazam menamatkan penantian 47 tahun pasukannya untuk menjuarai Piala Malaysia.

Semangat anak jati Pulau Pinang itu cukup membara bagi membantu kelab negeri kelahirannya, melakar sejarah dalam kejohanan Piala Malaysia selepas sekian lama sepi tanpa sebarang kejayaan membanggakan.

Pemain yang berasal dari Kampung Seronok, Bayan Lepas ini mengakui dia teruja mahu mengembalikan zaman kegemilangan Pulau Pinang yang pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak empat kali selain 13 kali beraksi di pentas akhir.

“Sebagai anak jati negeri, siapa yang tidak mahu ke final kerana saya tahu sudah lama Penang tidak mengecap sebarang kejayaan dalam kejohanan Piala Malaysia," katanya.

“Itu menjadi impian utama saya dengan Penang selepas melihat banyak pasukan lain pernah merasai nikmat memenangi Piala Malaysia."

“Dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil dan jika ada rezeki, saya mahu melihat peminat-peminat Penang berarak beramai-ramai ke stadium pada hari perlawanan akhir."

“Motivasi ini menjadi pemangkin utama buat kami untuk bangkit pada baki empat perlawanan akan datang selepas permulaan perlahan pada dua aksi awal apabila kami sekadar meraih satu mata."

Tahun 1974 menyaksikan Pulau Pinang muncul juara apabila menewaskan Perak, 2-1 sementara pada tahun 1977, merupakan tahun terakhir mereka bermain di perlawanan akhir dengan tewas kepada Singapura, 2-3 di Stadium Merdeka.

Sejak detik itu, Pulau Pinang yang kini dijenamakan sebagai Penang FC kempunan ke final biarpun ada memenangi trofi lain seperti kejuaraan Divisyen Satu(1982,1998 dan 2001) dan Piala FA (2002).

(Foto MFL FB)

Artikel Berkaitan

Somerville enggan berputih mata di laman sendiri

16:43 29-09-2021

85

Jaringan Tae-Su dapat perhatian dunia

16:39 28-09-2021

88