Hatrik Ronaldo bantu Portugal belasah Luxembourg

Rabu 13 Oktober 2021 09:16

96

Cristiano Ronaldo meledak hatrik ke-10 antarabangsanya untuk membelasah Luxembourg 5-0 dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 awal pagi tadi.

Bintang Manchester United itu menjaringkan dua penalti dalam tempoh enam minit dan melengkapkan hatrik pada minit ke-87 menerusi tandukan manakala Bruno Fernandes dan Joao Palhinha turut mencetak nama sebagai penjaring.

Bagaimanapun, Portugal masih kekal satu mata di belakang Serbia dalam Kumpulan A yang menewaskan Azerbaijan 3-1 di tempat sendiri.

Hatrik Ronaldo awal pagi tadi itu juga yang ke-58 sepanjang kariernya dan kini sudah mengumpul 115 gol buat Portugal.

Pemain berusia 36-tahun itu yang memintas rekod 109 gol antarabangsa milik bekas pemain Iran, Ali Daei bulan lalu turut mencipta rekod dengan 181 penampilan ketika menentang Qatar dalam aksi persahabatan minggu lalu.

Ronaldo mengatasi catatan bekas rakan sepasukan di Real Madrid, Sergio Ramos sebagai pemain Eropah paling banyak beraksi di peringkat antarabangsa namun masih jauh ketinggalan di belakang pemegang rekod dunia Soh Chin Ann. 

Legenda bola sepak Malaysia itu tampil 195 kali bersama pasukan kebangsaan negaranya.

(Foto Cristiano Ronaldo FB)

Artikel Berkaitan

Ronaldo redakan tekanan Ole

09:30 21-10-2021

40

Ronaldo tak puas pecah rekod

14:03 13-10-2021

65