Jepun padam rekod cemerlang Australia

Rabu 13 Oktober 2021 09:06

68

Pengurus Jepun, Hajime Moriyasu meminta anak buahnya untuk terus meningkatkan usaha selepas mengatasi Australia 2-1 untuk menghidupkan peluang dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Jepun menang di laman sendiri selepas tewas dua daripada tiga perlawanan pembukaan Kumpulan B, tetapi berjaya memungut kemenangan penting hasil gol sendiri pemain Australia, Aziz Behich pada minit ke-85.

Jepun masih perlu mengejar Australia dan Arab Saudi untuk berada pada kedudukan dua terbaik kumpulan dan layak secara automatik ke Qatar 2022.

Kemenangan skuad Samurai Biru itu membuka saingan semula pada Kumpulan B serta menamatkan rekod 11 kemenangan berturut-turut Australia dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Moriyasu berkata: "Kami terus berjuang sehingga wisel penamat dan tidak pernah berputus asa. Kami mahu ke Piala Dunia dan kami menunjukkannya malam ini.

"Ia kemenangan yang hebat tetapi kami perlu melalui banyak lagi perlawanan sukar selepas ini. Kami perlu menggunakan kemenangan untuk menemui rentak pada perlawanan seterusnya."

Terdahulu media Jepun melaporkan Moriyasu bakal dibuang kerja sekiranya tidak menewaskan Australia dan pengurus itu membalasnya dengan bertepuk tangan kepada penyokong selepas wisel penamat di Saitama.

"Ia perlawanan yang sangat sukar, tapi pemain meneruskannya dan mendapat sokongan padu daripada penonton," katanya.

Perlawanan tersebut menyaksikan Ao Tanaka memberikan Jepun permulaan sempurna pada minit kelapan namun pemain Australia, Ajdin Hrustic menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma pada minit ke-69.

Namun Behich menjaringkan gol sendiri berbaki lima minit saingan selepas cubaan Takuma Asano terkena palang. 


(Foto FIFA World Cup FB)