Southgate tidak mahu tunding jari

Rabu 13 Oktober 2021 13:00

54

Pengendali England Gareth Southgate enggan menyalahkan prestasi mana-mana individu selepas sekadar seri dengan Hungary dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi.

The Three Lions terikat 1-1 dengan Hungary di Stadium Wembley, sekali gus menamatkan rekod 21 kemenangan berturut-turut di laman sendiri sepanjang kempen kelayakan mereka.

Mereka juga terpaksa bangkit daripada ketinggalan selepas Rolland Sallai menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24 gara-gara tindakan Luke Shaw mengangkat kaki terlalu tinggi sebelum John Stones menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Ada usaha daripada Southgate untuk mengubah rentak permainan pasukannya tetapi keputusan untuk mengeluarkan Jack Grealish dilihat sebagai satu tindakan yang kurang tepat.

Grealish tampak kerap memberikan masalah buat pertahanan Hungary berbanding Harry Kane dan Raheem Sterling, yang kelihatan amat tumpul di bahagian depan.

Walaupun Sterling memiliki dua peluang terbaik, dia tidak dapat mengatasi penjaga gol Hungary Peter Gulacsi, manakala rekod jaringan Kane sepanjang 15 perlawanan berturut-turut peringkat kelayakan pula berakhir selepas gagal merobek gawang dalam perlawanan itu.

Tetapi Southgate enggan menunding jari kepada Kane dan Sterling yang beraksi dengan hambar bersama kelab mereka di saingan Liga Perdana Inggeris. 

"Saya tidak fikir kita patut menyalahkan mana-mana individu kerana kerana secara kolektifnya, kami tidak dapat memberikan aksi terbaik pada tahap yang sepatutnya," kata Southgate.

"Apabila anda menghadapi situasi seperti itu, ia juga akan menjadi sukar buat mana-mana individu."

England, bagaimanapun, masih mendahului saingan Kumpulan I selepas mengumpul 20 mata dan berkelebihan tiga mata di depan pencabar terdekat, Poland.


(Foto England football team FB)

Artikel Berkaitan

Sterling sedia tinggalkan Man City

11:52 15-10-2021

73

Kane temui sentuhan dengan hatrik

11:31 01-10-2021

81