Kecederaan Varane tambah tekanan Ole

Rabu 13 Oktober 2021 16:11

72

Tonggak pertahanan Manchester United Raphael Varane terpaksa diketepikan selama beberapa minggu selepas mengalami kecederaan ketika membantu Perancis menjuarai Liga Negara-Negara Eropah.

Varane terpaksa digantikan dengan Dayot Upamecano menjelang waktu rehat ketika Les Bleus menewaskan Sepanyol 2-1 dalam aksi final awal pagi Isnin.

Pertahanan tengah itu segera dikeluarkan selepas insiden berkenaan dan United kini mengesahkan bahawa Varane mengalami kecederaan kelangkang.

Satu kenyataan ringkas yang diterbitkan United berkata: "Raphael Varane mengalami kecederaan otot kelangkang pada aksi final dan akan menjalani pemulihan di kelab ini. Dia akan direhatkan selama beberapa minggu."

Ia pasti memberikan tamparan hebat buat pengurus United, Ole Gunnar Solksjaer, menjelang tempoh beberapa minggu paling sibuk pasukannya.

Biarpun masih belum diketahui jumlah perlawanan sebenar yang tidak dapat disertai Varane, tonggak pertahanan itu kelihatan akan terlepas beberapa perlawanan penting The Red Devils.

United akan berdepan Leicester City, Atalanta (dua kali), Liverpool, Tottenham dan Manchester City sepanjang empat minggu mendatang.

Selepas permulaan cemerlang musim ini, United kini hanya memenangi lima daripada 10 perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan tekanan bakal membebani Solskjaer.

Memburukkan lagi keadaan, masih belum ada kepastian mengenai tahap kecergasan ketua pasukan dan rakan seposisi Varane di United, Harry Maguire, yang terlepas perlawanan menentang Villarreal dan Everton sebelum waktu rehat antarabangsa gara-gara kecederaan betis.

(Foto Raphael Varane FB)