Awasi Norde: Morales

Isnin 22 November 2021 09:25

57

Penyerang Kuala Lumpur City Romel Morales mengakui cukup mengenali ketajaman yang ada pada pemain Melaka United, Sony Norde yang boleh memberi masalah kepada pasukan dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam ini.

Pernah beraksi bersama Norde pada musim lalu di Melaka, Morales tidak menolak kelincahan yang ada pemain itu cukup dikagumi dan menganggap dia akan menjadi ancaman besar kepada Kuala Lumpur dalam pertembungan separuh ahkir nanti.

Justeru, banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh skuad kendalian Bojan Hodak ini untuk memastikan mereka mampu mengatasi kekuatan lawan terutamanya kualiti yang ada pada jentera serangan Melaka itu.

“Saya tahu sejauh mana kekuatan yang ada pada pasukan Melaka sebab pernah bersama mereka musim lalu dan saya juga mengenali beberapa pemain mereka terutamanya Sony Norde.

“Dia melakukan tugas yang cukup cemerlang musim ini dan saya sangat mengenali dirinya di mana kita semua tahu Norde merupakan pemain yang berkualiti.

“Jadi, macam-macam mana pun, kita kena fikir apakah cara dan jalan terbaik untuk menghalang asakan pemain-pemain sepertinya dan saya sudah katakan banyak kali bahawa kami satu pasukan perlu terus bekerja keras untuk tugas ini,” jelasnya.

Berjaya meledak 10 gol dalam saingan Piala Malaysia, pemain berasal dari Colombia ini tidak menganggap ia satu tekanan apabila kini menjadi harapan penyokong untuk melihat dirinya terus menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

Bahkan, Morales merasakan ia satu tanggungjawab besar yang perlu dilakukan dengan baik untuk memenuhi harapan mereka dan rekod ini tidak akan berhasil tanpa kerja keras satu pasukan.

“Tiada tekanan untuk saya sebab saya memang nak bermain untuk menolong pasukan, diri sendiri dan juga penyokong yang sentiasa hadir menyokong kami,"

“Jadi, sudah tentu saya ingin sentiasa memberikan 100 peratus di atas padang sebab penyokong yang datang layak untuk menyaksikan pemain kesayangan mereka menjaringkan gol,"

“Saya hanya fikirkan bagaimana untuk terus bekerja keras dan sudah tentu saya tidak boleh mengurangkan usaha ini walaupun sedikit kerana inilah yang penyokong inginkan,” tambahnya.

Perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia akan berlangsung pada hari ini membabitkan aksi antara Kuala Lumpur dan Melaka United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur manakala Terengganu akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

(Foto KL City & Melaka United FB)

Artikel Berkaitan

Ramalan Hodak jadi kenyataan

09:16 01-12-2021

56

Hodak rancang kejutan, Mora bersedia

09:32 30-11-2021

58