Conte sebulu dengan penyokong Spurs

Isnin 22 November 2021 09:13

58

Antonio Conte sependapat dengan kemarahan penyokong Tottenham Hotspur selepas prestasi kurang bermaya anak buahnya dalam separuh masa pertama sebelum bangkit mencipta kemenangan ke atas seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United, sebentar tadi.

Bekas pengurus Chelsea itu meraikan kemenangan pertamanya sejak kembali ke liga utama England itu yang menyaksikan Pierre-Emile Hojbjerg dan Sergio Reguilon melengkapkan kebangkitan semula 2-1 di utara London.

Daniel James terlebih dahulu telah memberikan Leeds gol pendahuluan dalam babak awal tatkala Spurs muncul pasukan pertama sejak 2003-04 yang mengharungi enam perlawanan berturut-turut EPL tanpa terdaya mengatur sebarang percubaan tepat.

Situasi itu membangkitkan sebilangan penyokong yang meluaskan rasa tidak puas hati mereka sebelum barisan tuan rumah bertindak balas dengan sewajarnya apabila Hojbjerg menyamakan kedudukan sebelum terpaan Reguilon selepas sepakan percuma Eric Dier mengenai tiang untuk memastikan kemenangan mereka.

“Kemenangan ini sangat penting memandangkan kami bergelut hari ini. Kami memperagakan dua corak permainan yang berbeza dan dalam separuh masa pertama mereka menewaskan kami dalam aspek taktikal," kata Conte.

"Untuk menentang Leeds dan Marcelo Bielsa bukannya mudah. ​​Kami perlu berasa puas. Ini hanyalah asas untuk memulakan perjuangan baki musim ini."

"Kami meraikan kemenangan ini kerana saya fikir ia sukar dan kami menyedarinya. Saya membaca statistik Leeds dan mereka adalah kelab yang mempunyai intensiti tinggi. Dalam babak pertama, kami agak bergelut kerana mereka bermain lebih baik daripada kami dan mendahului permainan. Kami terlalu banyak melepaskan penguasaan bola."

"Dalam separuh masa kedua pula, kami mengubah taktikal dan mula memberi tekanan di setiap kawasan padang. Kami mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan mungkin kami boleh menjaringkan lebih banyak gol lagi. Yang pasti ia adalah satu kemenangan penting kerana kami amat memerlukannya."

"Selepas separuh masa pertama, penyokong tidak berpuas hati dengan corak permainan kami dan saya bersetuju dengan mereka. Dalam babak kedua, kami berubah sepenuhnya. Saya mengubah rancangan secara taktikal dan pemain saya mula bermain dengan baik."

Keputusan itu memastikan Spurs merampas kedudukan tangga ketujuh Manchester United, empat mata di belakang empat kelab teratas dan 10 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

(Foto Tottenham Hotspur FB)

Artikel Berkaitan

Pemain dah faham falsafah saya: Conte

09:17 03-12-2021

50

Conte gigit jari di Slovenia

09:17 26-11-2021

70