Ole bangga dapat berkhidmat untuk Man Utd

Isnin 22 November 2021 09:08

71

Bekas pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer yakin The Red Devils akan kembali menemui rentak kemenangan di sebalik kemerosotan kebelakangan ini.

Selepas hampir tiga tahun mengemudi juara 20 kali itu, Solskjaer akhir dipecat petang semalam susulan tewas 1-4 kepada Watford.

Ia menyusuli kekalahan perit kepada Liverpool dan Manchester City di Old Trafford untuk United kini tewas lima daripada tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ramai yang akan menganggap bekas penyerang itu telah dikecewakan oleh barisan pemain berbakat yang dimiliki, tetapi Solskjaer tetap menyifatkan pemain yang ditinggalkannya adalah antara pemain dan individu terbaik selain kumpulan pemain yang telah memberi kerjasama baik.

“Saya akan keluar melalui pintu depan kerana saya rasa semua orang tahu bahawa saya telah mencurahkan segala-galanya buat kelab ini,” katanya.

"Kelab ini bermakna segala-galanya kepada saya dan kami pernah mengharungi perlawanan yang baik tetapi malangnya saya tidak mampu mencapai keputusan yang diperlukan dan sudah tiba masanya untuk saya berundur."

Solskjaer mendedahkan dia bangga dan bertuah untuk menguruskan kelab yang dia pernah diwakilinya di bawah era gemilang Sir Alex Ferguson sebagai pengurus.

"Inilah adalah bola sepak, ia benar-benar menyeronokkan dari minit pertama hingga akhir,"

"Jadi saya perlu berterima kasih kepada semua pemain kerana sejak saya ke mari, mereka adalah pemain terbaik. Ada yang datang dan ada yang telah pergi, tetapi mereka semua merupakan kumpulan pemain yang menyeronokkan untuk bekerjasama."

Dia berharap dia telah meninggalkan United dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika awal ketibaannya selain mempunyai keyakinan skuad itu akan bertambah baik.

"Asasnya sudah ada, saya tahu mereka sudah bersedia untuk kembali mantap dan saya pasti mereka akan mencapainya...saya pasti kita akan melihat kembali mendapat rentak kejayaan," katanya.

"Sebagaimana yang saya katakan kepada mereka pagi tadi: 'Percayalah kepada diri sendiri, anda tahu kita adalah lebih baik daripada ini."

(Foto Manchester United FB)

Artikel Berkaitan

Chelsea kecewa tidak dapat atasi Man United

09:41 29-11-2021

64

Solksjaer mahu tinggalkan Old Trafford?

10:29 10-11-2021

108