Pep puas dengan aksi anak buah

Isnin 22 November 2021 09:30

71

Manchester City mencatat kemenangan bergaya apabila Raheem Sterling, Rodri dan Bernardo Silva berjaya meledak gol untuk menumpaskan Everton sekali gus merapatkan jurang kepada tiga mata dengan pendahulu liga, Chelsea.

"Secara keseluruhan kami berjaya mengawal permainan. Kami bermain dengan corak permainan yang sepatutnya untuk menumpaskan pasukan seperti Everton," kata pengendali City Pep Guardiola.

Perlawanan tersebut menyaksikan Sterling meledak gol dalam penampilan yang ke-300 di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dia berjaya menyudahkan hantaran Joao Cancelo bagi meraih gol ke-98 di liga utama England itu.

Rembatan jarak jauh Rodri 10 minit selepas rehat menamatkan pertarungan antara kedua-dua pasukan.

Sterling sepatutnya menambah gol kedua selepas menerima hantaran lintang Riyad Mahrez namun percubaannya berjaya diselamatkan rakan senegara dalam skuad England, Jordan Pickford tatkala dia cuba untuk memperdayakan penjaga gol itu.

City meraih gol ketiga lima minit sebelum perlawanan tamat apabila Silva melakukan tindakan susulan selepas rembatan Cole Palmer dihalang pemain lawan.

Kekalahan kelima anak buah Rafael Benitez sekarang ini meletakkan mereka di tangga ke-11 liga dan hanya dipisahkan dengan enam mata dari zon penyingkiran.


(Foto Manchester City FB)

Artikel Berkaitan

Silva cetus inspirasi untuk tundukkan Aston Villa

09:13 02-12-2021

54

Man City terus hambat Chelsea

09:33 29-11-2021

65