Harimau Malaya mulakan persiapan ke Piala AFF 2020

Selasa 23 November 2021 09:21

96

Pasukan bola sepak kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe, memulakan kem latihan pusat bermula semalam ini sebagai persediaan menghadapi Piala AFF 2020 di Singapura, bulan depan.

Kem latihan pusat fasa 1 itu yang mengumpulkan barisan pemain yang sudah menamatkan saingan Piala Malaysia bersama pasukan masing-masing, diadakan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.

Berdasarkan ciapan Twitter rasmi FAM, hanya pemain tengah Baddrol Bakhtiar diberi pelepasan untuk melapor diri pada Rabu ini, memandangkan kapten Kedah Darul Aman (KDA) itu menyambut kelahiran anak keduanya baru-baru ini.

Ia sekali gus menyaksikan hanya 11 daripada keseluruhan 28 pemain yang disenaraikan Cheng Hoe mengikuti sesi latihan itu, melapor diri ke kem latihan pusat berkenaan.

Selepas ini pemain dari pasukan yang tersingkir pada saingan separuh akhir Piala Malaysia akan melapor diri pada 28 November, manakala pemain yang beraksi di pentas final pertandingan berprestij itu akan menyertai pasukan pada 1 Disember.

Sementara itu, empat lagi pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Dion Cools, dijadualkan akan terus menyertai pasukan di Singapura.

Kejuaraan Piala AFF 2020 dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari tahun depan dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja pada 6 Disember diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.

(Foto FAM FB)