Lewandowski pilihan utama rangkul anugerah

Selasa 23 November 2021 08:56

58

Robert Lewandowski berpeluang mengekalkan anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA selepas sekali lagi dinamakan sebagai calon dalam senarai pendek 11 pemain bersama Karim Benzema dan Jorginho.

Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo juga tercalon dengan Neymar, Mohamed Salah dan Kylian Mbappe juga berpeluang meraih anugerah yang diperkenalkan sejak 2017 itu.

Erling Haaland, N'Golo Kante dan Kevin De Bruyne melengkapkan senarai pemain berpotensi memenanginya.

Empat pemain Barcelona juga disenaraikan bagi pemain terbaik wanita - Alexia Putellas, Jennifer Hermoso, Aitana Bonmati dan Caroline Graham Hansen.

Chelsea, yang tewas kepada Barcelona pada final Liga Juara-Juara Wanita musim lalu, juga memiliki empat wakil iaitu Sam Kerr, Ji So-yun, Magdalena Eriksson dan Pernille Harder.

Lucy Bronze, yang memenanginya tahun lalu, tercalon bersama rakan sepasukan England, Ellen White.

Pemenang emas Olimpik dari Kanada, Christine Sinclair juga bersaing sama seperti Stina Blackstenius dari Sweden.

Thomas Tuchel mendahului calon sebagai jurulatih lelaki terbaik selepas mengetuai Chelsea meraih gelaran Liga Juara-Juara dan akan berdepan cabaran Roberto Mancini yang membimbing Itali memenangi Euro 2020.

Calon lain termasuk Hansi Flick, Pep Guardiola, Antonio Conte, Diego Simeone dan bos Argentina, Lionel Scaloni.

Pemenang dipilih oleh kapten dan jurulatih semua pasukan kebangsaan seluruh dunia selain undian dalam talian oleh peminat dan wartawan terpilih.

Tiga nama finalis setiap kategori akan didedahkan awal Januari nanti dengan majlis akan diadakan secara maya dari ibu pejabat FIFA dekat Zurich pada 17 Januari.

Majlis Ballon d'Or pula akan berlangsung secara berasingan di Paris pada 29 November. 

(Foto Robert Lewandowski FB)

Artikel Berkaitan

Kasut Emas Eropah milik Lewandowski

10:54 22-09-2021

151

Liverpool bidik Lewandowski

09:51 17-09-2021

121