Chelsea bergaya benam Juventus

Rabu 24 November 2021 09:10

62

Pengendali Chelsea Thomas Tuchel memuji aksi "menakjubkan" anak buahnya apabila juara bertahan Liga Juara-Juara itu menempah tiket ke kelompok 16 terakhir menerusi kemenangan bergaya 4-0 ke atas Juventus.

Skuad kendalian Tuchel mendahului apabila Antonio Rudiger tidak dihukum setelah bola terkena tanganya dan ia membawa kepada gol pembukaan Trevoh Chalobah pada minit ke-25 di Stamford Bridge.

Juventus gagal bangkit selepas kontroversi itu apabila Reece James (minit ke-55), Callum Hudson-Odoi (minit ke-58) dan Timo Werner (minit ke-95) meledak pada babak kedua bagi membawa Chelsea ke kedudukan teratas Kumpulan H.

Chelsea mendahului Juventus berdasarkan perbezaan gol dan akan memastikan tempat teratas jika mereka mengalahkan di Zenit Saint Petersburg dalam saingan terakhir kumpulan pada 8 Disember.

Ia satu lagi persembahan baik daripada Chelsea yang tidak tewas dalam 10 perlawanan semua kejohanan sejak tumpas 1-0 di Juventus pada September.

"Ia persembahan yang sangat bagus. Kami mahu terus kekal sabar, tapi pada masa sama tidak mahu terlena, jadi ia satu cabaran untuk melakukan kedua-duanya," kata Tuchel.

"Kami melakukannya dengan sangat baik, adalah sukar untuk menjaringkan gol berdepan Juventus dan kami banyak mencipta peluang. Pujian untuk persembahan menakjubkan dan keputusan yang hebat."

James jelas cemerlang di sayap kanan apabila pemain berusia 21 tahun itu kini matang selaku bakat berkelas dunia.

Bagaimanapun Tuchel berdepan masalah apabila N'Golo Kante dan Ben Chilwell masing-masing terpaksa dikeluarkan dengan Chilwell dikhuatiri mengalami kecederaan lutut menyebabkan kebimbangan buat pendahulu Liga Perdana itu.

"Ben mengalami kesakitan, tidak berapa teruk ketika ini. Kami akan menjalankan ujian esok. Kami harapkan yang terbaik. Sama dengan N'Golo," kata Tuchel.


(Foto Chelsea FB)