Norde enggan dibelenggu lagi

Khamis 25 November 2021 09:20

60

Penyerang Melaka United, Sony Norde sedar dirinya sentiasa dianggap ancaman kepada Kuala Lumpur City melihat kepada kawalan ketat daripada tuan rumah sepanjang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Isnin lalu.

Kelincahan Norde benar-benar memberi impak kepada pasukan untuk mencipta banyak peluang bagi memburu jaringan.

Bahkan, dia juga tidak menolak pergerakannya sentiasa dikawal rapi sambil menyifatkan Kuala Lumpur tidak memberi laluan mudah kepada mereka untuk menambah gol sehingga keputusan berakhir seri 1-1.

Walaubagaimanapun, pemain dari Haiti ini menganggap satu gol lawan yang diraih pasukan untuk dibawa ke Melaka masih belum cukup dan menjangkakan separuh akhir kedua pada Jumaat ini akan menjadi lebih sengit.

“Saya hanya cuba ingin membantu pasukan sebaik mungkin, tetapi Kuala Lumpur juga bermain dengan baik.

“Pada separuh masa pertama, akan ada dua pemain yang sentiasa dekat dengan saya untuk kawal pergerakan, jadi situasi agak sengit juga.

“Cuma saya rasa untuk aksi di Melaka nanti mungkin akan lebih senang untuk saya dan pemain lain bagi memastikan keputusan memihak kepada kami dan seterusnya ke final,” katanya.

Dalam pada itu, pemain tengah Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya tidak menolak faktor kepenatan menjadikan aksi mereka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur tidak seperti yang dirancang dan tekad akan mampamerkan prestasi yang lebih menyakinkan dalam perlawanan timbal balik di Stadium Hang Jebat esok.

Nyata, tandukan daripada Zhafri berjaya menyelamatkan pasukan daripada tewas di laman sendiri selain menganggap pengendali, Bojan Hodak banyak membentuk dirinya menjadi pemain lebih berkualiti.

“Di bawah kendalian Bojan Hodak, saya lihat bukan saya sahaja malah prestasi pemain-pemain lain juga banyak dah meningkat berbanding sebelum ini dan beliau tahu kelebihan saya untuk letak saya di posisi terbaik.

“Untuk perlawanan tadi (Isnin), mungkin sedikit kepenatan menyebabkan pemain-pemain beraksi tidak seperti biasa sebab kita bermula daripada saingan liga sehingga Piala Malaysia, jurang hari untuk rehat tidak jauh.

“Tetapi kita tidak akan mengalah dan akan berjuang habis-habisan di tempat lawan nanti untuk cuba mara ke final”, katanya.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia akan berlangsung esok menyaksikan Melaka akan berdepan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat manakala Terengganu akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

(Foto Melaka United FB)

Artikel Berkaitan

Ramalan Hodak jadi kenyataan

09:16 01-12-2021

56

Hodak rancang kejutan, Mora bersedia

09:32 30-11-2021

58