Ramalan Hodak jadi kenyataan

Rabu 1 Disember 2021 09:16

Pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak mendedahkan dia memang percaya pasukan bimbingannya akan meraih Piala Malaysia edisi ke-100 tahun pada musim ini sebelum saingan itu membuka tirainya.

KL mencatat kemenangan bergaya menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menjulang Piala Malaysia buat kali keempat untuk menamatkan penantian 32-tahun semalam.

Ketabahan KL yang lebih banyak menyerap asakan akhirnya terbalas apabila hantaran lintang J.Partiban disudahkan oleh Zhafri Yahya pada minit ke-65.

Impian barisan pemain Harimau Selatan untuk kembali bersaing ranap apabila Farizal Marlias sekali lagi tertewas pada minit ke-74, kali ini menerusi jaringan kapten pasukan Paulo Josue.

"Saya sudah katakan yang kami akan menang Piala Malaysia musim ini," kata Hodak.

"Kami bermain dengan hebat dan mengikut semua perancangan yang disusun. Sebelum ini tiada yang percaya kami mampu melakukannya dan barisan pemain saya layak untuk menang (Piala Malaysia)."

"Saya sudah jangkakan (akan menang). Saya sudah katakan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (Stanley Bernard) yang kita akan menang sebelum Piala Malaysia bermula."

Lebih manis, bukan setakat mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka juga meraih tiket ke Piala AFC musim depan.

Keputusan itu turut menyaksikan JDT meneruskan 'badi' selaku juara bertahan Piala Malaysia apabila Pahang muncul juara bertahan terakhir yang berjaya mengekalkan trofi terbabit pada 2014.

(Foto MFL FB)