Cheng Hoe buat panggilan SOS kepada Arif, Kalamullah

Jumaat 3 Disember 2021 09:18

Faktor kecederaan memaksa pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terpaksa memanggil bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi pada saat akhir menjelang kempen Piala AFF bermula Ahad ini.

Tindakan itu dilakukan bagi menggantikan seorang lagi tonggak JDT, Mohamadou Sumareh yang tidak dapat menyertai tugasan ke Singapura ekoran urusan keluarga selain mengalami kecederaan pangkal paha.

Sebelum ini, Cheng Hoe tidak menyenaraikan Arif dalam senarai panggilan kebangsaan kerana tidak mahu mengerah pemain remaja itu berlebihan.

Skuad kebangsaan sebelum ini kehilangan khidmat pasangan Kuala Lumpur - D. Kenny Palraj dan Akram Mahinan yang mengalami kecederaan selepas membantu pasukan menewaskan JDT untuk merangkul Piala Malaysia, Selasa lalu. 

"Kita dapat perkhabaran Sumareh tak dapat bersama dengan skuad kebangsaan, jadi kita terpaksa buat satu panggilan untuk Arif Aiman. Secara keseluruhan kami sangat gembira Arif dapat bersama dengan skuad kebangsaan pada kali ini," kata Cheng Hoe.

"Selepas tamat perlawanan (final Piala Malaysia), saya sempat berbual dengannya dan dia bersedia untuk bersama skuad kebangsaan. Itu saja yang penting dan kita kena terus fokus perlawanan akan datang."

Pada masa sama, Cheng Hoe turut mendapatkan khidmat penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz bagi menggantikan Azri Ab Ghani yang terpaksa diketepikan juga kerana masalah kecederaan.

"Azri mengalami kesakitan di bahagian bahu ekoran kecederaan, jadi kita mengambil langkah segera dengan memanggil Kalamullah. Dia pun sudah bersama kita sejak latihan pusat pada Oktober lalu dan dia pengganti yang baik untuk Azri," katanya.

(Foto FAM FB)