Rangnick kagumi Fred, puji aksi Ronaldo

Isnin 6 Disember 2021 09:04

Ralf Rangnick memuji usaha Cristiano Ronaldo dan mengakui dia terkejut dengan jaringan Fred yang memastikan kemenangan Manchester United ke atas Crystal Palace dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus.

United kelihatan hanya mampu mengutip satu mata dengan perlawanan tampak bakal berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sehingga Fred menjaringkan gol kemenangan menerusi rembatan kaki kanan pada minit ke-77 di Old Trafford semalam.

The Red Devils mendominasi The Eagles pada separuh masa pertama dengan pendekatan tekanan tinggi yang sengit yang akan dituntut oleh pengurus sementara, Rangnick sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Namun bergelut menembusi benteng pertahanan Palace sehingga Fred menghasilkan satu-satunya gol perlawanan, kemenangan 1-0 melonjakkan United ke tangga keenam -- tiga mata di belakang West Ham di tempat keempat.

Ramai mempersoalkan impak Cristiano Ronaldo pada perancangan taktikal Rangnick, tetapi jurulatih Jerman itu memberikan pujian kepada penyerang prolifik itu sepanjang aksi pertamanya bersama United.

"Saya sangat gembira dengan cara pasukan beraksi, terutama dalam separuh masa pertama, tekanan yang dilakukan cukup luar biasa. Perkara yang gagal terhasil adalah jaringan," kata Rangnick.

"Cara kami bertahan, kami mengawal permainan dan perkara paling penting adalah tidak dibolosi. Terdapat perkara yang perlu diperbaiki, dengan hanya satu sesi latihan, saya cukup kagum dengan prestasi pasukan. Kami melakukan lebih baik daripada apa yang dijangkakan."

"Kami sentiasa berusaha untuk berada di hadapan. Kami mahu mencuba menurunkan dua penyerang, terutama di bahagian tengah. Sebelum itu, usaha yang dilakukan Cristiano Ronaldo sepanjang perlawanan, cukup baik."

(Foto Manchester United FB)

Artikel Berkaitan

Sikap Ronaldo buat rakan sepasukan muak

10:01 10-08-2022

Apa sudah jadi Man United?

09:33 08-08-2022