Aidil mahu bermula langkah kanan ke atas Kemboja

Isnin 6 Disember 2021 09:14

Ketua pasukan skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak berharap persiapan pendek pasukan tidak menjadi penghalang untuk memulakan kempen Piala AFF dengan langkah kanan ke atas Kemboja di Stadium Bishan, Singapura petang ini.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut berharap siapa sahaja yang akan diturunkan menentang Kemboja dapat memberikan persembahan terbaik mengikut segala taktikal jurulatih, Tan Cheng Hoe.

"Setiap pemain ada perasaan berbeza, ini perasaan saya sendiri dan mungkin saya salah atau mungkin saya betul. Tapi secara logiknya kita nak ke kejohanan mesti ada persiapan yang bagus dan ada perlawanan pemanas badan," kata Aidil.

"Kita tiada perlawanan persahabatan, dari segi itu yang buat rasa sedikit risau tapi saya harap kerisauan saya ini tidak menjadi salah satu benda yang menjadi beban kepada pasukan."

"Tiga mata ini (berdepan kemboja) penting untuk beri keyakinan kepada pemain menghadapi perlawanan seterusnya terutama untuk berdepan Vietnam, Indonesia dan Laos. Apa jadi sekali pun kita tetap perlu kemenangan dan tak boleh kalah."

Aidil juga mengingatkan barisan Harimau Malaya tidak memandang rendah kemampuan Kemboja pada pertemuan wajib menang itu.

Kedudukan Kemboja di tangga ke-170 dunia berbanding Harimau Malaya (154) dan rekod pertemuan sebelum ini, jelas memihak kepada anak buah Tan Cheng Hoe untuk memulakan kempen Kumpulan B mereka dengan langkah kanan tanpa sebarang masalah.

Namun, Aidil mengingatkan rakan sepasukannya yang Harimau Malaya boleh dihukum dengan kekalahan sekiranya terlalu mengambil mudah perlawanan itu dan menyifatkan Kemboja yang dibimbing Keisuke Honda sudah meningkat.

"Kita sudah lihat perlawanan Kemboja sebelum ini, mereka pasukan berbeza yang ada sekarang ini berbanding kali terakhir kita lawan mereka pada 2018. Corak permainan mereka sudah berbeza, tak sama macam dulu," kata pemain pertahanan itu.

"Mereka lebih pantas, jadi kita kena lebih berhati-hati dan kita tak boleh anggap skuad mereka sekarang sama dengan skuad yang sebelum ini."

"Saya tak nak rakan sepasukan yang lain dan saya sendiri menganggap Kemboja salah satu pasukan untuk kita mudah mencari kemenangan."

Selain itu, Aidil turut menyatakan sedikit kerisauan mengenai keserasian keseluruhan pemain dalam pasukan selepas mengharungi persiapan singkat selain tanpa sebarang aksi pemanas badan.

(Foto FAM FB)