Torres dan Pedri mangsa terbaru Covid-19

Selasa 4 Januari 2022 09:13

Pemain baharu Barcelona, Ferran Torres dan rakan sepasukan, Pedri masing-masing diuji positif Covid-19, umum kelab itu menerusi satu kenyataan semalam.

"Pedri dan Ferran Torres diuji positif Covid-19. Pemain berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan kini mengasingkan diri di rumah mereka," kata Barca.

Torres berhijrah dari Manchester City minggu lalu dan diperkenalkan oleh Barca di Nou Camp hanya beberapa jam sebelum dia diuji positif.

Pemain tengah, Pedri, 19, menjadi pemain utama buat Sepanyol ketika mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah serta menang Trofi Kopa selaku pemain terbaik bawah 21 tahun pada anugerah Ballon d'Or November lalu.

Dua pemain positif itu menjadi ancaman terbaharu buat kelab Catalan itu yang berdepan masalah sama dengan kelab La Liga lain yang bergolak akibat Covid-19.

Jurulatih Barca, Xavi Hernandez gagal menangguhkan pertemuan menentang Mallorca Ahad lalu selepas mendedahkan dia kehilangan 17 pemain termasuk 10 pemain kerana jangkitan Covid-19. 


(Foto Ferran Torres FB)