PFAM mahu Melaka United selesaikan tunggakan

Rabu 12 Januari 2022 09:14

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesa Melaka United segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain yang kini berlanjutan tiga bulan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PFAM, badan yang mewakili kebajikan pemain itu memberi tempoh sehingga 19 Januari ini menyelesaikan semua tunggakan tersebut.

"Kami di PFAM ingin menyatakan solidariti kami kepada para pemain skuad utama Melaka United dan juga pemain skuad Piala Presiden Melaka United," kata kenyataan PFAM.

"Bagi makluman, tunggakan skuad utama adalah sebanyak tiga bulan dan tunggakan bagi skuad Piala Presiden adalah sebanyak dua bulan setengah."

"PFAM telah pun menghantar Notis Tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari ini."

Jelas PFAM lagi, ini bukanlah kes pertama membabitkan Melaka United, di mana kelab itu sebelum ini beberapa kali melalui skrip sama.

"PFAM ingin mengingatkan agar pasukan mengambil serius berkenaan isu pembayaran gaji memandangkan ini bukan merupakan kali pertama membabitkan pasukan Melaka United.

"Pemain sudah memberikan kerjasama dan memahami kekangan pasukan dengan memberikan tempoh yang sewajarnya. Semoga isu ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera," katanya.

(Foto Melaka United FB) 

Artikel Berkaitan

'Melaka United bukan anak emas'

09:59 13-01-2022

Zainal ingin tamatkan penantian 100 tahun

09:21 26-11-2021