Pemain bermain dengan api: Tuchel

Khamis 13 Januari 2022 09:13

Pengendali Chelsea Thomas Tuchel berasakan the Blues 'bermain dengan api' dalam kemenangan 1-0 di Tottenham dan memberi amaran mereka perlu meningkatkan taraf permainan mereka walaupun mara ke final Piala Liga.

Antonio Rudiger menjaringkan gol tunggal perlawanan kedua di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi tadi untuk membanti juara Eropah itu mencatat kemenangan agregat 3-0 ke atas Spurs.

Ia adalah malam yang mengecewakan bagi Spurs, yang dihadiahkan penalti pada kedua babak perlawanan oleh Andre Marriner, tetapi kedua-duanya keputusan telah dibatalkan.

Marriner memberikan penalti pertama atas terjahan Rudiger ke atas Pierre-Emile Hojbjerg, namun VAR memberitahu pengadil bahawa sentuhan dilakukan di luar kotak penalti.

Pengadil itu kemudian menyedari memberikan keputusan yang salah apabila menyaksikan paparan skrin di tepi padang dan menolak keputusan awal apabila Lucas Moura yang kelihatan dijatuhkan Kepa Arrizabalaga, yang berjaya mendapatkan bola ketika menghalang penyerang Spurs itu.

Harry Kane kemudian dinafikan jaringan kerana berada di kedudukan ofsaid berikutan satu lagi keputusan daripada VAR menyaksikan Chelsea lolos ke final untuk bertemu antara Arsenal atau Liverpool pada 27 Februari.

Tuchel nyata tidak berpuas hati dengan cara pasukannya menempah tiket ke Wembley.

"Saya berasa kami bermula dengan baik. Kami mencipta peluang besar, kami mendahului, tetapi kami bermain dengan api," katanya.

"Kami membenarkan peluang daripada kesilapan mudah, diceroboh pemain lawan dan kami bernasib baik, hampir memberikan penalti tanpa sebab, kerana terlalu yakin."

"Kami bermula sekali lagi dengan baik pada separuh masa kedua dan perkara yang sama berlaku selama 20-25 minit terakhir. Pasukan mula hilang fokus, terlalu yakin, saya tidak tahu. Tiba-tiba kami memerlukan tuah untuk tidak mendapat penalti lagi [diberikan terhadap mereka], untuk mempunyai satu lagi keputusan VAR kerana pemain Spurs berada di kedudukan ofsaid.

"Kami boleh bermain dengan lebih baik, kami perlu bermain lebih baik jika kami mahu benar-benar layak mendapat keputusan seperti ini kerana kami bermain dengan baik dalam fasa perlawanan yang panjang, tetapi kami perlu melakukan yang lebih baik."

(Foto Chelsea FB)