'Melaka United bukan anak emas'

Khamis 13 Januari 2022 09:59

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak dakwaan segelintir peminat bahawa Melaka United menjadi 'anak emas' kepada badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M).

Segelintir peminat bola sepak tempatan  mempersoalkan kenapa skuad Hang Tuah masih diberikan lesen walaupun sering berdepan masalah tunggakan gaji dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan beberapa hukuman terutama pemotongan mata yang dikenakan ke atas Melaka sebelum ini membuktikan bahawa semua pasukan menerima layanan sama rata.

Stuart juga menjelaskan pemberian lesen kebangsaan kepada pasukan adalah berdasarkan dokumen kewangan yang diserahkan pada 30 Jun lalu dan.

Beliau berkata, MFL juga menuntut setiap pasukan menyerahkan surat akuan berkanun (SD) yang membuktikan bahawa mereka bebas dari sebarang pembayaran atau kelewatan membayar gaji dan bayaran lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 15 Disember lalu.

"Kalau Melaka anak emas MFL, saya tak fikir mereka akan berdepan pemotongan mata dalam dua musim terakhir," kata Stuart selepas Majlis Taklimat Kalendar Liga M 2022 yang diadakan secara maya, semalam.

"Jadi, dekat situ dalam SD kita akan tahu pasukan mana berdepan masalah gaji, selepas itu MFL ambil tindakan lanjut yang mana jika tidak bayar pada Januari, larangan perpindahan automatik dikenakan, jika tak bayar lagi akan ditolak mata."

"Justeru, lesen sah sudah diberi mengikut peraturan semasa dan jawatankuasa pelesenan mengikut segala peraturan. Mengenai kekurangan atau tidak bayar gaji selepas 30 Jun, ia dijadikan satu perkara yang sudah saya bincang bersama PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia).

"Satu peraturan baharu akan dirasmikan di dalam pelesenan kelab 2022 untuk lesen 2023 di mana kita anjakkan tarikh 30 Jun itu kepada 30 September. Mungkin ada yang tertanya kenapa 30 September, itu bukan hujung musim."

"Ia kerana pada 30 Oktober, MFL perlu menyerahkan dokumen kepada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk lesen tahunan kebangsaan, jadi kami perlu lengkapkan supaya kita boleh serahkan kepada AFC."

"Ini permintaan daripada PFAM dan MFL dengan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah dan juga ahli jawatankuasa pelesenan untuk menambah lagi tempoh masa pemantauan bayaran gaji ini."

(Foto MFL)