Serbegeth meninggal dunia

Khamis 13 Januari 2022 10:05

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh, yang turut dikenali sebagai Shebby Singh, meninggal dunia pada usia 61 tahun semalam.

Mantan Penasihat Global Blackburn Rovers itu dilaporkan mengalami serangan jantung sewaktu sedang berbasikal di Iskandar Puteri, Johor petang semalam.

Mendiang memulakan karier bola sepaknya bersama Johor pada 1978 sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1984.

Selain pernah mewakili Pahang, Negeri Sembilan dan Perak, bekas pemain pertahanan itu juga pernah memperkuatkan skuad kebangsaan dalam tiga edisi Sukan Asia dari 1982 hingga 1990 dan merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.

Sepanjang 18 tahun dalam kancah bola sepak tempatan dari 1978 hingga 1996, mendiang telah memenangi pelbagai gelaran domestik, termasuk Piala Malaysia, Piala FA dan kejuaraan liga.

Sejak bersara, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.

Mendiang meninggalkan bekas isteri, Harbans Kaur, yang juga bekas pelari negara, serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh.


(Foto FAM FB)

Artikel Berkaitan