Tunisia jadi mangsa akibat pengadil

Khamis 13 Januari 2022 11:39

Suasana kelam kabut tercetus pada saingan Piala Negara-Negara Afrika awal pagi tadi apabila Mali menewaskan Tunisia dalam pertemuan penuh kontroversi selepas pengadil meniup wisel penamat sebelum cukup 90 minit perlawanan.

Insiden berkenaan membayangi kemenangan 1-0 Mali mengatasi satu daripada pencabar utama gelaran di Limbe.

Pengadil perlawanan dari Zambia, Janny Sikazwe menamatkan perlawanan walaupun jam memaparkan 89 minit 42 saat menyebabkan pemain Tunisia berang ketika mereka cuba mendapatkan gol penyamaan berdepan lawan yang bermain 10 orang.

Ketika kekeliruan tercetus, jurulatih Mali, Mohamed Magassouba memberikan sidang akhbar selepas perlawanan apabila pegawai perlawanan memasuki bilik itu dan mengatakan aksi akan disambung semula berbaki tiga minit.

Mali kembali ke padang tetapi pemain Tunisia tidak muncul menyebabkan pengadil mengambil keputusan menamatkannya.

"Keputusannya tidak boleh dijelaskan. Saya tidak faham kenapa dia membuat keputusan itu dan kini kita lihat apa yang akan berlaku," kata jurulatih Tunisia, Mondher Kebaier.

Bagaimanapun keengganan pasukan Tunisia kembali ke padang boleh menyebabkan mereka berhadapan dengan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Afrika.

"Dia meniup wisel dan meminta kami ke bilik persalinan, jadi pemain sudah mandi ais dan kemudian dia mahu kami kembali ke padang," kata Kebaier.

"Sepanjang 30 tahun dalam sukan ini, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini."

Artikel Berkaitan

Rekod tanpa kalah Algeria ranap

10:01 17-01-2022

'Melaka United bukan anak emas'

09:59 13-01-2022