Bilbao kejutkan Atletico

Jumaat 14 Januari 2022 10:38

Athletic Bilbao bangkit daripada ketinggalan untuk mengejutkan juara La Liga, Atletico Madrid 2-1 sekali gus mara ke final Piala Super Sepanyol menentang Real Madrid.

Juara Piala Super 2021 itu ketinggalan menerusi jaringan Joao Felix selepas sejam perlawanan sebelum Bilbao memanfaatkan situasi bola mati bagi menghasilkan dua gol.

Yeray Alvarez mengikat kedudukan pada minit ke-77 sebelum pemain berusia 19 tahun, Nico Williams menyumbat gol kemenangan pada minit ke-81 yang bermula daripada sepakan sudut Iker Munian.

"Saya sangat beremosi sekarang," kata Williams yang turut beraksi bersama abangnya, Inaki dalam perlawanan itu.

"Saya harap dapat merasai banyak lagi kegembiraan seperti ini. Saya gembira mendapat pengalaman ini bersama abang dan ibu saya, yang datang memeluk kami selepas tamat perlawanan.

"Ibu mengatakan saya layak (menang). Pelukan bersama abang selepas jaringan kemenangan itu adalah satu detik yang saya tidak akan lupakan."


(Athletic Club FB)