Arteta puji aksi bertahan anak buah

Jumaat 14 Januari 2022 10:18

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji anak buahnya selepas berjaya bertahan selama lebih sejam dengan 10 pemain apabila mengikat Liverpool tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di Anfield, hari ini.

"Pemain menunjukkan semangat juang dan keazaman yang tinggi. Anda lihat emosinya, kami tidak pernah menyerah kalah," kata Arteta.

The Gunners tampak bakal dihukum selepas kapten pasukan, Granit Xhaka dilayangkan kad merah pada minit ke-24 susulan kekerasan ke atas Diogo Jota.

Namun, The Reds jelas merindui kelibat Mohamed Salah dan Sadio Mane selepas bergelut untuk mencipta peluang sekalipun berkelebihan seorang pemain.

Kehilangan Xhaka menyaksikan Arteta terpaksa mengorbankan Eddie Nketiah apabila membawa masuk Rob Holding dan lima pertahanan pelawat berjaya bertahan dengan Liverpool lebih banyak mendominasi perlawanan.

"Saya tidak tahu kalau kad merah itu membakar semangat pemain tetapi ia memberi cabaran kepada kami," kata Arteta.

"Anda perlukan sikap yang tertentu untuk bermain dalam perlawanan seperti ini dan pemain berjaya melakukannya."

Chelsea menanti pemenang bagi pertembungan ini dan sekalipun kehilangan dua pemain terbaik mereka, Jurgen Klopp tetap menurunkan barisan pemain terbaiknya.

"Kami lebih suka kalau dapat menjaringkan gol daripada pasukan lawan mendapat kad merah... bermula dari detik itu, nampaknya kami lebih tertekan. Tetapi ini adalah perlawanan timbal balik," kata Klopp.

"Ketika 0-0 pada separuh masa, saya menganggap kami seperti tiada peluang tetapi kami akan terus memberikan aksi terbaik."

(Foto Arsenal FB)

Artikel Berkaitan

Klopp mahu terus kejar Man City

09:56 17-01-2022

Masa depan Salah di tangan Liverpool

10:39 12-01-2022