Fiorentina mara bergaya ke suku akhir Piala Itali

Jumaat 14 Januari 2022 10:26

Fiorentina menyingkirkan Napoli yang beraksi dengan sembilan pemain 5-2 sekali gus mara ke suku akhir Piala Itali, hari ini.

Dusan Vlahovic yang dikaitkan dengan banyak pasukan terkemuka Eropah meletakkan pelawat di hadapan dengan gol ke-19 miliknya musim ini, empat minit sebelum tamat babak pertama.

Aksi separuh masa kedua lebih sengit apabila Dries Mertens menyamakan kedudukan sebelum penjaga gol Fiorentina, Bartlomiej Dragowski dilayangkan kad merah susulan kekasaran ke atas Elif Elmas.

Namun, Fiorentina yang beraksi dengan 10 pemain kembali di hadapan pada minit ke-58 menerusi Cristiano Biraghi sebelum giliran Napoli kehilangan Hirving Lozano susulan kad merah selepas penilaian semula Video Bantuan Pengadil (VAR).

Tuan rumah terus berdepan detik sukar pada masa tambahan apabila Fabian Ruiz dilayangkan kad kuning kedua namun jaringan penyamaan Andrea Petagna mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan sebaiknya Fiorentina apabila meledak dua gol menerusi Lorenzo Venuti dan Krzysztof Piatek pada babak pertama masa tambahan disusuli jaringan kelima oleh Youssef Maleh.

Mereka akan bertemu Atalanta yang menewaskan Venezia 2-0 pada suku akhir.

(Foto ACF Fiorentina FB)

Artikel Berkaitan

Jaringan Chiesa ikat Napoli

09:50 07-01-2022

Rodgers bingung mengenai Liga Conference Europa

11:04 10-12-2021