Komentar Maxgoal: Perlukah Melaka United terus diberi peluang?

Jumaat 14 Januari 2022 17:47

elaka United terus terpalit dengan isu tunggakan gaji buat tahun ketiga berturut-turut dan bukan setakat membabitkan skuad utama, tetapi ia turut menular ke skuad Piala Presiden.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi satu kenyataan menzahirkan solidariti kepada pemain pasukan terbabit.

PFAM juga sudah menghantar notis tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2022.

Sebelum ini Melaka United berhadapan masalah yang sama pada musim 2020 dan 2021 dan mereka ditolak tiga mata pada kedua-dua musim.

Namun, Melaka United nampak masih tidak belajar dari kesilapan sehingga badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) didakwa memberi layanan istimewa kepada Melaka United.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan beberapa hukuman terutama pemotongan mata yang dikenakan ke atas skuad Hang Tuah sebelum ini membuktikan bahawa semua pasukan menerima layanan sama rata.

Dakwaan bahawa Melaka United anak emas MFL oleh segelintir peminat dengan mereka mempersoalkan kenapa skuad Sang Kancil masih diberikan lesen walaupun sering berdepan masalah tunggakan gaji dalam beberapa musim kebelakangan ini.

MFL bagaimanapun menjelaskan pemberian lesen kebangsaan kepada pasukan adalah berdasarkan dokumen kewangan yang diserahkan pada 30 Jun lalu.

Stuart ada menjelaskan MFL menuntut setiap pasukan menyerahkan surat akuan berkanun (SD) yang membuktikan bahawa mereka bebas dari sebarang pembayaran atau kelewatan membayar gaji dan bayaran lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 15 Disember lalu.

"Peraturan baharu akan diperkenalkan di dalam pelesenan kelab 2022 untuk lesen 2023 di mana kita anjakkan tarikh 30 Jun itu kepada 30 September. Mungkin ada yang tertanya kenapa 30 September, itu bukan hujung musim," kata Stuart.

"Ia kerana pada 30 Oktober, MFL perlu menyerahkan dokumen kepada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk lesen tahunan kebangsaan, jadi kami perlu lengkapkan supaya kita boleh serahkan kepada AFC."

"Ini permintaan daripada PFAM dan MFL dengan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah dan juga ahli jawatankuasa pelesenan untuk menambah lagi tempoh masa pemantauan bayaran gaji ini."

Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata segala permasalahan berbangkit berkaitan persatuan bola sepak itu, termasuk isu tunggakan gaji kepada pemain, akan dibentangkan pada Kongres MUSA, Ahad ini.

Tampaknya masalah gaji pemain Melaka United bakal berakhir dalam masa terdekat, dan MFL sentiasa berusaha dan memperketatkan peraturan untuk mengelakkan masalah membayaran gaji.

Tetapi adakah ianya mencukupi?

Jika dilihat setiap musim ada sahaja kes masalah pembayaran gaji timbul.

Perkara asas yang membelenggu bola Malaysia buat sekian lama nampaknya masih berterusan.

Pelbagai peraturan boleh dibuat tetapi jika pengurusan pasukan masih tidak mengambil serius peraturan yang ada maka tiada gunanya juga.

Masalah Liga-M dan bola sepak Malaysia hanya boleh diselesaikan jika pentadbiran bola sepak menjadi profesional.


(Foto Melaka United FB)

Artikel Berkaitan

'Melaka United bukan anak emas'

09:59 13-01-2022

PFAM mahu Melaka United selesaikan tunggakan

09:14 12-01-2022