Ancelotti azam rangkul kejuaraan seterusnya

Isnin 17 Januari 2022 09:13

Pengendali Real Madrid Carlo Ancelotti bangga selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Athletic Bilbao pada final Piala Super Sepanyol di Arab Saudi sekali gus merangkul gelaran ke-21 sepanjang kariernya dan yang kelima bersama gergasi Sepanyol itu.

Ia trofi pertamanya sejak menghadiahkan Piala Super Jerman untuk Bayern Munich pada 2017.

Pada aksi awal pagi tadi, jaringan Real diperolehi menerusi rembatan menarik Luka Modric pada babak pertama dan penalti Karem Benzema pada awal babak kedua.

"Ya, saya menang banyak trofi tetapi sudah lama tidak memenanginya," kata Ancelotti dalam sidang media di Riyadh awal pagi tadi.

"Kemenangan menggambarkan penamat kerja anda... Pada pandangan umum, ia bermakna anda telah melakukan tugas dengan baik tetapi ia tidak selalunya benar. Saya fikir saya melakukan tugas dengan baik di Everton dan Napoli tetapi saya tidak menang trofi di sana."

Pengurus berusia 62 tahun itu mengendalikan Real ketika mereka menjuarai Liga Juara-Juara ke-10 pada 2014. Dia juga menjuarai Copa del Rey, Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia bersama Madrid ketika kali pertama mengendalikan Galacticos sehingga 2015.

Dia hanya perlukan gelaran La Liga untuk muncul pengurus pertama dalam sejarah kelab menjuarai kesemua enam trofi utama dan mereka kini gah di puncak liga.

"Saya berasa bertuah dan bangga apabila berpeluang mengendalikan pasukan ini... Anda tidak boleh letih untuk menang. Ia indah, sesuatu yang anda amat nikmatinya. Melihat pemain gembira meraikan kejuaraan," kata Ancelotti.

"Kami tidak mempunyai masa untuk terus bergembira, ada lagi kejohanan menunggu beberapa hari lagi."

Real mendahului La Liga dengan 49 mata daripada 21 perlawanan, lima mata di depan pasukan di tangga kedua Sevilla.

Mereka akan menentang PSG pada pusingan 16 dalam aksi Liga Juara-Juara dan berkunjung ke Elche juga dalam peringkat 16 Piala Raja Sepanyol, Khamis depan.

(Foto Real Madrid FB)

Artikel Berkaitan

Mbappe tidak ganggu fikiran Ancelotti

11:43 20-05-2022

Xavi sasar kebangkitan musim depan

09:31 16-05-2022