Benitez dipecat Everton

Isnin 17 Januari 2022 09:06

Rafael Benitez telah dipecat oleh Everton selepas hanya mencatat dua kemenangan dalam 14 perlawanan dalam semua pertandingan. 

Pasukan Liga Perdana itu mengumumkan pemecatan Benitez di laman web rasmi mereka semalam, sehari selepas tewas 2-1 kepada pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Norwich City.

"Everton boleh mengesahkan Rafael Benitez telah meninggalkan jawatan sebagai pengurus pasukan utama," kata kenyataan itu.

"Makluman mengenai pengganti tetap akan dibuat dalam masa terdekat."

Bekas pengendali Liverpool, Benitez, merupakan pelantikan yang memecahbelahkan Everton apabila dia dipilih menggantikan Carlo Ancelotti menyertai Real Madrid selepas pada Jun 2021. 

Dihalang oleh sekatan kewangan, Benitez hanya mampu membelanjakan GBP1.7 juta yang dilaporkan pada jendela perpindahan pertamanya di kelab itu, membawa masuk Demarai Gray, Andros Townsend, Asmir Begovic, Andy Lonergan dan Salomon Rondon, manakala pemain bintang James Rodriguez meninggalkan kelab itu pada bulan September.

Everton memulakan musim dengan baik, memenangi tiga daripada empat perlawanan liga pertama mereka, namun kecederaan kepada pemain utama dan kehilangan momentum menyaksikan mereka merosot.

Duncan Ferguson dijangka sekali lagi akan memikul tugas sebagai pengurus sementara.

Sementara itu, Wayne Rooney dan Roberto Martinez dilaporkan menjadi pilihan untuk jawatan sebagai pengurus tetap.

 

(Foto Everton FB)