Klopp mahu terus kejar Man City

Isnin 17 Januari 2022 09:56

Jurgen Klopp menegaskan Liverpool tidak akan berputus asa untuk mengejar Manchester City di puncak Liga Perdana selepas kembali temui momentum kemenangan dengan menewaskan Brentford 3-0 semalam.

Fabinho, Alex Oxlade-Chamberlain dan Takumi Minamino meledak jaringan ketika Reds ketiadaan Mohamed Salah dan Sadio Mane yang menyertai misi Piala Negara Afrika.

Kemenangan tersebut melonjakkan skuad Klopp ke tangga kedua liga, 11 mata di belakang pendahulu tetapi kurang satu perlawanan berbanding City.

"Kami tak perlu meyakinkan orang luar. Mereka yang bersama kami, mahu nikmati cabaran ini," kata Klopp.

"Ini bukan situasi bercakap mengenai perlumbaan gelaran juara, 11 mata dengan satu perlawanan dalam tangan. Dalam dunia normal (City menang liga), tetapi apa yang normal sekarang ini?"

Liverpool gagal menembusi gawang Arsenal yang beraksi kurang seorang pemain pada separuh akhir pertama Piala Liga sehingga menimbulkan kebimbangan bagaimana mereka boleh mengatasinya tanpa dua peledak utama sepanjang bulan ini.

"Kami boleh menghentikan kebisingan mereka... Kami tahu apa yang tak kena ketika menentang Arsenal," kata Klopp. 

"Dua pemain bertaraf dunia tiada di sini dan memberi kesan kepada kami."

(Foto Liverpool FB)