Cameroon mara, Comoros curi tumpuan

Selasa 25 Januari 2022 09:11

Pasukan tuan rumah, Cameroon mara ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika untuk bertemu Gambia selepas mengatasi Comoros yang bermain dengan 10 pemain, 2-1 di Stadium Paul Biya, awal pagi tadi.

Pertahanan kiri, Chaker Alhadhur terpaksa beraksi di gawang gol buat Comoros selepas dua daripada tiga penjaga gol mereka diketepikan kerana Covid-19 manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

Kapten mereka, Nadjim Abdou dibuang padang selepas hanya tujuh minit dengan Karl Toko-Ekambi meletakkan Cameroon di depan sebelum ketua pasukan, Vincent Aboubakar meledak gol keenamnya dalam kejohanan kali ini.

Comoros menampilkan aksi terbaik yang menghidupkan peluang mereka hingga penamat hasil sepakan percuma Youssouf M'Changama.

"Saya tidak rasa saya hero... Saya melakukan apa yang sepatutnya, saya rasa saya memberikan harapan buat pasukan dan mereka semua cuba membantu saya," kata Alhadhur yang bermain di pertahanan kiri bersama kelab Ligue 2, Perancis, Ajaccio.

Mengenai pemilihan sebagai penjaga gol dia berkata: "Ia sesuatu yang pada mulanya kami ada bercerita dan ketawa memikirkannya, kemudian ia menjadi serius.

"Saya dipilih tetapi saya tidak percaya hingga saya memakai sarung tangan dan jersi. Kemudian saya menyedari ia serius. Pelbagai emosi dirasai tetapi saya melaluinya dengan baik."

Negara kecil dari kepulauan di Lautan Hindi itu layak ke kelompok 16 terakhir buat pertama kali selepas mara selaku pasukan ketiga terbaik pada peringkat kumpulan.

Bagaimanapun impian mereka menjadi mimpi ngeri apabila 12 pemain dan staf diuji positif Covid-19 dua hari sebelum pertembungan itu termasuk penjaga gol, Ali Ahamada dan Moyadh Ousseini.

(Foto TotalEnergies Africa Cup of Nations FB)

Artikel Berkaitan

Salah tak hirau Liverpool dan kesakitan demi Mesir

09:12 07-06-2022

Mane dah pujuk Salah

14:43 08-02-2022