Mesir jumpa Senegal di final kejohanan Afrika

Jumaat 4 Februari 2022 09:30

Mesir yang diperkuat Mohamed Salah mara ke final Piala Negara-Negara Afrika selepas menewaskan tuan rumah Cameroon 3-1 dalam penentuan penalti di Yaounde.

Selepas seri tanpa jaringan dalam 120 minit permainan, penjaga gol Mohamed Abou Gabal muncul wira Mesir apabila menyelamatkan sepakan penalti Harold Moukoudi dan James Lea-Siliki dalam penentuan di Stadium Olembe itu sebelum sepakan Clinton Njie tersasar dan memusnahkan harapan tuan rumah.

Salah, yang biasa mengambil sepakan penalti terakhir untuk negaranya, tidak diperlukan kali ini untuk Mesir mara ke final bertemu Senegal di Stadium sama Ahad ini.

Ia bakal menampilkan pertembungan Salah dengan rakan sepasukan Liverpool, Sadio Mane, di mana The Pharaohs memburu gelaran kelapan untuk melebarkan rekod kejuaraan Afrika mereka manakala Senegal masih mencari mahkota sulungnya.

"Kami amat bangga dengan pencapaian hari ini tetapi masih ada satu langkah lagi perlu diharungi," kata penolong jurulatih Mesir Diaa Al-Sayed, yang menggantikan Carlos Queiroz selepas pengendali itu dibuang padang ketika perlawanan.

Impian Cameroon untuk menjulang trofi benua itu di laman sendiri musnah, namun mereka berpeluang menebus kekecewaan dalam penentuan tempat ketiga menentang Burkina Faso hujung minggu ini.

"Kami sedih, begitu juga 27 juta rakyat Cameroon, tetapi itulah bola sepak," kata pengendali Cameroon Toni Conceicao.

(Foto TotalEnergies Africa Cup of Nations FB)

Artikel Berkaitan

Rundingan Salah-Liverpool buntu

09:39 20-06-2022

Salah antara dermawan terbesar di Mesir

10:29 17-06-2022