West Ham kejutkan Lyon

Jumaat 15 April 2022 15:21

West Ham United mencipta sejarah mara kali pertama ke separuh akhir kejohanan utama Eropah sejak 1976 selepas menewaskan Olympique Lyonnais 3-0 untuk kemenangan agregat 4-1 dalam aksi suku akhir Liga Europa awal pagi tadi.

Kelab London itu yang menjuarai Piala Pemenang Piala pada 1965 membuktikan kemampuan menerusi jaringan Craig Dawson, Declan Rice dan Jarrod Bowen bagi membolehkan mereka mengulangi aksi separuh akhir 1976 dengan menentang Eintracht Frankfurt yang menewaskan Barcelona.

Selepas seri 1-1 di tempat sendiri, West Ham lebih banyak bertahan pada awal permainan di Stadium Groupama sebelum mendahului Lyon 2-0 sebelum rehat.

Bowen menambah gol ketiga sejurus babak kedua bermula dan pasukan tuan rumah gagal bangkit selepas itu.

"Kami miliki barisan pemain yang sangat bagus, saya benar-benar bertuah," kata pengendali West Ham David Moyes.

"Perjalanan ini dua tahun, kami bercakap mengenai penyingkiran dan kini kami bercakap mengenai separuh akhir kejohanan Eropah. Sangat hebat, malam ini detik paling bermakna bagi kami... Keputusan sangat bagus."

Lyon pula yang menduduki tangga ke-10 dalam carta Ligue 1 kini mengharapkan prestasi lebih baik dalam liga.

"Kami beraksi baik di London dan bermula bagus dengan beberapa peluang dicipta. Tetapi itulah bola sepak Eropah. Anda tewas, anda tersingkir," kata pengurus Lyon, Peter Bosz.

(Foto West Ham United FB)