Pioli mahu anak buah terus berjuang

Selasa 10 Mei 2022 10:45

Stefano Pioli 'jatuh cinta' dengan barisan pemain Milan yang bangkit untuk menewaskan Hellas Verona 3-1 bagi mengekalkan peluang untuk meraih Scudetto di tangan mereka.

Rossoneri kembali memimpin Serie A bagi menamatkan pemburuan Scudetto pertama sejak 2010-11 untuk dua mata di depan Inter dengan baki dua perlawanan.

Lantas, pengurus Milan berpuas hati dengan kemenangan anak buahnya dan memuji anak buahnya yang tidak pernah jemu berjuang.

"Saya amat menyayangi pemain saya... Saya tahu mereka pasti mampu lakukan dan menempuhi rintangan ini," kata Pioli.

"Keberanian dan kepercayaan wujud menerusi pengalaman anda. Kami ketinggalan walaupun bermula dengan baik tetapi kami tetap percaya kepada diri sendiri dan langkah demi langkah kami mengharungi segala rintangan. Kami perlu kekal begini."

"Saya berpuas hati dengan kemenangan hari ini tetapi kami sudah memikirkan perlawanan seterusnya menentang Atalanta (di laman sendiri Isnin depan) yang akan menjadi rumit."

Pioli turut memuji aksi mantap Rafael Leao dan Sandro Tonali pada perlawanan tersebut.

“Mereka masih muda tetapi semakin mantap... Saya pernah berpesan kepada mereka pada hari kedua kem latihan musim panas lalu. Kini saya menemui dua pemain berbeza berbanding di penghujung musim lalu," katanya.

(Foto AC Milan FB)