Jangan dibuai dendam: Maloney

Rabu 11 Mei 2022 11:16

Jurulatih skuad B23 negara, Brad Maloney, mengingatkan anak buahnya untuk tidak dibuai perasaan dendam berdepan Laos di Stadium Thien Truong petang ini.

Pertemuan menentang Laos menjadi peluang terbaik buat skuad muda negara menebus kehampaan dalam Kejohanan AFF B23 di Kemboja, Februari lalu.

Ia menyaksikan skuad bimbingan Maloney yang tidak diperkuatkan barisan pemain ampuh ketika itu tewas dua perlawanan kepada lawan dengan keputusan 1-2 dan 0-2.

Sebaliknya, Maloney menuntut barisan pemain negara kekal fokus dan menghormati Laos setelah berjaya memulakan kempen Sukan SEA dengan nota kemenangan.

"Kami akan cuba menghadapi perlawanan secara positif, mengambil perlawanan demi perlawanan serta menghormati kemampuan pasukan lawan," kata Maloney.

"Laos telah mempamerkan peningkatan sejak kebelakangan ini dan kehadiran pengendali baru itu telah membantu mereka untuk ke tahap lebih baik. Ia dapat disaksikan dalam aksi pertama ketika mereka bertemu Singapura tempohari."

(Foto FAM FB)