Perisic pacu Inter untuk rangkul Piala Itali

Khamis 12 Mei 2022 09:30

Inter Milan merangkul Piala Itali buat kali kelapan selepas menewaskan musuh tradisi, Juventus 4-2 menerusi gol kemenangan di masa tambahan pada perlawanan yang penuh insiden dan kontroversi di Stadium Olimpico.

Ivan Perisic memperoleh dua gol kemenangan di masa tambahan tetapi terdahulu perlawanan itu mencetuskan kontroversi selepas Inter dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Hakan Calhanoglu minit ke-80 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Juve mendahului menerusi gol pantas daripada Alex Sandro dan Dusan Vlahovic pada awal separuh masa kedua.

Namun keputusan pengadil, Paolo Valeri memberikan sepakan penalti selepas Lautaro Martinez terjatuh susulan berlaku sedikit sentuhan daripada Leonardo Bonucci menimbulkan kemarahan kepada pasukan bimbingan Massimiliano Allegri.

"Saya sentiasa fikir kami boleh melakukannya, walaupun ketika ketinggalan 1-2. Kami kehilangan fokus selama 10 atau 15 minit tetapi kami kembali bangkit. Saya fikir kami berhak untuk menang," kata Perisic.

Bagi Inter, ia adalah satu lagi kejayaan ke atas Juve selepas melakar kemenangan kontroversi di Turin bulan lalu dan menewaskan mereka di Piala Super Itali awal musim ini yang memberikan suntikan semangat untuk mempertahankan kejuaraan Serie A.

Pasukan bimbingan Simone Inzaghi mengekori rapat AC Milan apabila hanya kurang dua mata dan akan menyerahkan kejuaraan liga kepada lawan mereka itu sekiranya gagal menewaskan Cagliari yang diancam penyingkiran, Isnin ini.

Sementara itu, jurulatih Juve, Massimiliano Allegri memilih untuk tidak berkata apa-apa mengenai keputusan penalti yang menafikan mereka menjulang trofi.

"Inter sedang berjuang untuk kejuaraan liga dan kami berada di belakang mereka. Kami perlu merapatkan jurang itu dengan terus bekerja keras," kata Allegri.


(Foto Inter FB)