Chelsea hampiri Liga Juara-Juara

Khamis 12 Mei 2022 09:39

Chelsea hampir layak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Leeds yang sedang bergelut, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel menang buat kali pertama sejak konsortium Todd Boehly bersetuju untuk membeli Chelsea daripada Roman Abramovich minggu lalu.

Perlawanan tersebut menyaksikan Mason Mount membuka jaringan di Elland Road dan Leeds mengalami tamparan apabila Daniel James dibuang padang.

Christian Pulisic menyumbat gol kedua Chelsea pada separuh masa kedua dan Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan pertama The Blues dalam empat perlawanan.

Chelsea yang berada di tangga ketiga kini mendahului lapan mata daripada Tottenham yang berada di tangga kelima dan akan menjamin kedudukan empat teratas jika skuad bimbingan Antonio Conte gagal menewaskan Arsenal di tangga keempat awal pagi esok.

Kemenangan itu adalah tonik terbaik untuk Chelsea menjelang aksi final Piala FA menentang Liverpool di Wembley, Sabtu ini.

"Kami menerima semua halangan yang perlu dihadapi. Kami kuat dari awal dan layak untuk menang," kata Tuchel, yang mendedahkan Mateo Kovacic mungkin terlepas aksi final Piala FA kerana mengalami kecederaan buku lali.

Sementara Chelsea ingin menamatkan musim dengan cemerlang, Leeds pula berada dalam bahaya untuk tersingkir dari Liga Perdana.


(Foto Chelsea FB)