Skuad Maloney dahului kumpulan Sukan Sea

Khamis 12 Mei 2022 11:55

Skuad B-23 negara muncul pendahulu Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 selepas menewaskan Laos 3-1 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh malam semalam.

Jaringan berganda Luqman Hakim Shamsudin dalam kedua babak perlawanan selain satu jaringan Syahir Bashah memastikan pasukan bimbingan Brad Maloney itu meraih kemenangan kedua daripada dua perlawanan selepas menewaskan Thailand 2-1, minggu lalu.

Malaysia mendominasi hampir keseluruhan aksi sejak awal permainan dan sering merencanakan gerakan serangan, terutama menerusi Luqman Hakim dari sebelah kanan namun kekurangan naluri pemusnah di depan gawang menyebabkan Laos berjaya bertahan.

Namun segalanya berubah pada minit ke-36 apabila penyerang KV Kortrijk itu berjaya membuka jaringan dengan rembatan ke penjuru kanan bawah gawang biarpun bola sempat terbias ke kaki pertahanan lawan.

Dua minit sebelum menuju ke bilik persalinan, pemain Selangor FC, Syahir, melebarkan jurang jaringan Malaysia menerusi rembatan terus dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Keo-Oudone Souvannasangso.

Luqman Hakim mencetak namanya buat kali kedua pada perlawanan, selepas menolak masuk lambungan Azfar Fikri Azhar dari sebelah kanan pada minit ke-67 dan sejurus selepas itu dia terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

Kelebihan 3-0 menyaksikan pasukan kebangsaan mengendurkan kawalan pada penghujung perlawanan dan ia menyebabkan Visith Bounpaserth merapatkan jurang buat pada minit ke-85.

Tersentak dengan jaringan Laos, anak buah Maloney bangkit memperkemaskan permainan sehingga wisel penamat. 

Dengan kemenangan itu, pasukan negara kini mendahului Kumpulan B dengan enam mata selepas dua perlawanan, dua mata mengatasi pencabar terdekat, Singapura, yang telah beraksi lebih satu perlawanan.

Barisan kendalian Maloney itu seterusnya akan menghadapi pasukan negara jiran berkenaan di venue sama pada Sabtu ini.


(Foto FAM FB)

Artikel Berkaitan

Luqman mohon maaf gagal sempurnakan penalti

09:43 23-05-2022

Impian pingat emas Malaysia musnah

09:25 20-05-2022