Gol lewat Forestieri benam NS

Khamis 12 Mei 2022 12:00

Fernando Forestieri menjaringkan gol jarak jauh pada minit terakhir waktu tambahan untuk memastikan Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih kemenangan dramatik 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam semalam.

Kemenangan itu turut memastikan JDT kembali memintas skuad Rusa berkenaan di tangga teratas Liga Super dengan 15 mata, satu mata mengatasi pencabar terdekat itu biarpun Harimau Selatan memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi Mohamed, beraksi cemerlang menafikan setiap percubaan yang dilakukan JDT sepanjang 90 minit tetapi tambahan masa 10 minit yang diberikan pengadil mengubah keseluruhan cerita di Paroi.

JDT merencanakan beberapa siri percubaan berbahaya, menerusi Arif Aiman Hanapi, Bergson Da Silva dan Forestieri, tetapi kerap dikecewakan oleh Syihan Hazmi dan barisan benteng Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan lebih memilih untuk bertahan dan menanti peluang serangan balas pada babak kedua perlawanan dan ketika kedua-dua pasukan kelihatan akan berkongsi mata menjelang penghujung 90 minit waktu sebenar, pengadil, Nazmi Nasaruddin, mengambil keputusan untuk melanjutkan perlawanan dengan 10 minit waktu tambahan.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya JDT untuk memburu gol kemenangan dan Forestieri, pada minit ke-101, melepaskan satu rembatan tepat ke penjuru kanan atas gawang Syihan Hazmi.


(Foto JDT FB)

Artikel Berkaitan

Mora enggan tunding jari

09:34 20-05-2022

Gamel akui tugas berat di Stadium Sultan Ibrahim

09:54 18-05-2022