RAMALAN SKOR PIALA FA | Liverpool miliki kelebihan ketara ke atas Chelsea

Jumaat 13 Mei 2022 12:39

Liverpool dan Chelsea memperbaharui permusuhan di Stadium Wembley dengan trofi di barisan, kali ini bertarung di final Piala FA yang ke-141.

Bagi Chelsea, Piala FA mewakili satu-satunya kejuaraan domestik yang masih ada pada musim ini. Sementara itu, Liverpool masih dalam prospek mengutip empat trofi pada musim ini.

Pengendali Liverpool Jurgen Klopp pastinya sudah muak dengan bunyi perkataan kejuaraan quadruple, tetapi pasukannya mempunyai peluang yang realistik untuk menghasilkan sesuatu yang tidak dapat difikirkan - walaupun prospek Manchester City keciciran mata dalam Liga Perdana kelihatan tipis.

Klopp telah mengharungi tempoh yang sukar dengan penuh keyakinan untuk mengekalkan Liverpool dengan peluang menambah empat trofi ke dalam kabinet mereka, tetapi keletihan itu mungkin telah mula ketara dalam beberapa perlawanan terakhir mereka.

Liverpool memerlukan kebangkitan cemerlang pada separuh masa kedua untuk menyingkirkan Villarreal daripada Liga Juara-Juara, tetapi mereka kelihatan agak ketandusan idea menentang Tottenham Hotspur dan jauh daripada prestasi terbaik mereka menentang Aston Villa pada pertengahan minggu.

Tujuh daripada lapan perlawanan terakhir Liverpool berakhir dengan kemenangan, tetapi memandangkan mutu pertahanan mereka yang sangat tinggi, rekod tiga perlawanan tanpa bolos menjadi sandaran pada pentas final.

Chelsea memulakan musim sebagai juara Eropah sebelum menambah kejuaraan Kelab Dunia, Chelsea hanya boleh menikmati beberapa minggu lagi sebagai penyandang juara Liga Juara-Juara, malah tempat ketiga dalam Liga Perdana tidak begitu selamat.

The Blues menamatkan rentak tiga perlawanan tanpa kemenangan dalam Liga Perdana dengan kejayaan 3-0 ke atas Leeds United, Rabu lalu.

Sejak kali terakhir Liverpool memenangi piala itu 16 tahun lalu, Chelsea telah menang pada edisi 2007, 2009, 2010, 2012 dan 2018 - malah menewaskan Liverpool pada 2012.

Tuchel akan menyamai rekod Jose Mourinho selepas membimbing Chelsea ke pentas final buat kali keempat sejak 2021, tetapi rekod hanya dua kemenangan daripada enam perlawanan terakhir mereka, menimbulkan keraguan.

The Reds telah menerima tamparan hebat selepas Fabinho mengalami masalah hamstring yang jelas dalam kemenangan ke atas Aston Villa, Selasa lalu, dan tahap masalah pemain tengah itu pada masa ini tidak jelas.

Klopp pasti akan mengelak daripada mengambil sebarang risiko ke atas Fabinho jika dia tidak 100% cergas, tetapi dia sepatutnya menjadi satu-satunya pemain Liverpool yang tidak beraksi pada perlawanan akhir.

Dalam cara yang hampir sama, Chelsea juga menyaksikan salah seorang pemain tengah mereka meninggalkan padang dengan kecederaan yang membimbangkan pada pertengahan minggu, ketika Mateo Kovacic menerima terjahan mengerikan daripada Daniel James di Elland Road, yang menyebabkan pemain Leeds itu dibuang padang

Tuchel difahamkan pesimis tentang keadaannya, tetapi Jorginho kembali tepat pada masanya daripada masalahnya sendiri pada pertengahan minggu.

Kemunculan semula N'Golo Kante juga akan dialu-alukan dengan tangan terbuka, tetapi Tuchel "90% pasti" bahawa Jorginho dan Ruben Loftus-Cheek akan berada di tengah untuk aksi final.

Perlawanan akhir Piala FA kali ini akan menandakan pertemuan ke-192 antara Liverpool dan Chelsea dalam semua pertandingan, dengan The Reds mengumpul 83 kemenangan berbanding 65 untuk Blues, manakala 43 perlawanan berakhir dengan seri.

Penjaga gol The Blues Kepa Arrizabalaga menjadi punca apabila Liverpool menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti pada perlawanan akhir Piala Liga Februari lalu - kemenangan ketiga mereka dalam perlawanan akhir piala ke atas Chelsea selepas Perisai Komuniti 2006 dan Piala Super UEFA 2019.

Satu-satunya perlawanan akhir Piala FA sebelum ini antara kedua-dua kelab berakhir dengan kejayaan 2-1 untuk Chelsea sedekad lalu, manakala kedua-dua pertemuan Liga Perdana musim ini berakhir dengan seri, menunjukkan bahawa pertandingan yang sengit di pentas final.

Tuchel mahupun Klopp berkemungkinan tidak dapat mengeluarkan kombinasi bahagian tengah yang diingini mereka di Wembley, tapi perlawanan tetap menjadi sengit.

Merangkul Piala FA buat kali pertama bersama Liverpool akan menjadi cara terbaik untuk Klopp meraikan pelanjutan kontraknya baru-baru ini, manakala pemilik baharu Chelsea akan membayangkan permulaan gemilang bersama The Blues.

Bagaimanapun, Liverpool dapat merehatkan bintang-bintang pada aksi pertengahan minggu dan mengatasi Man City dengan bergaya pada pusingan separuh akhir, jadi kami menjangkakan The Reds akan memberikan kesengsaraan kepada The Blues di final Piala FA.

(Foto Liverpool FB)

 

RAMALAN MAXGOAL

Liverpool 2 Chelsea 1