Gamel akui tugas berat di Stadium Sultan Ibrahim

Rabu 18 Mei 2022 09:54

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel sedar tugas yang cukup berat berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam usaha untuk memburu tiga mata bagi aksi Liga Super malam ini.

Berdepan dengan lawan yang nyata mempunyai barisan serangan berkualiti, Gamel mengakui perlawanan ini akan lebih sukar di mana JDT pastinya enggan memberi laluan mudah untuk mereka terus meraih kemenangan.

Justeru, beliau mahu pemain lebih kreatif dalam mengembangkan lagi corak permainan untuk memastikan mereka mampu mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol.

Apa yang pasti, Sri Pahang nyata ingin kembali bangkit daripada kekalahan lalu kepada Sarawak United FC meskipun sedar JDT mempunyai kelebihan apatah lagi beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.

“Mereka mempunyai serangan yang berbisa manakala kami pula masih belum dapat sebarang ‘clean sheet’ setakat ini, jadi ia jelas membuktikan tugas berat yang kami akan hadapi nanti.

“Kebanyakan daripada pemain masih belum berada di tahap yang terbaik, jadi memang kita kena cuba untuk mengembangkan lagi corak perlawanan seleps ini.

“Apa yang penting, mereka perlu menikmati sepanjang perlawanan dengan lebih baik tidak kira apa pun yang berlaku”, jelasnya.

Kali terakhir Sri Pahang menang ke atas JDT dalam saingan Liga Super adalah pada tahun 2014 dan Gamel enggan melihat rekod itu sebagai tekanan memandangkan skuadnya kali ini lebih menggunakan kudrat pemain muda.

Bercakap mengenai pemain, Gamel mengesahkan terdapat beberapa pemain berdepan kecederaan dan akan melakukan sedikit perubahan dalam perlawanan esok.

“Tidak perlu untuk melihat rekod itu sekarang sebab saya datang ke sini dengan sebahagian pemain utama tidak dapat bermain dan lebih ramai pemain muda.

“Jadi pentingnya untuk mereka memberikan 200 peratus di atas padang bagi memberi tentangan sengit.

“Akan ada beberapa perubahan sebab saya sekarang ada tiga kecederaan daripada perlawanan lepas, tapi saya tidak mahu berkongsi lebih mengenai perkara itu”, tambahnya.

(Foto FAM FB)

Artikel Berkaitan

Penang raih kemenangan pertama Liga Super

09:25 23-06-2022

Penang hilang khidmat Casagrande

10:03 22-06-2022