Mora enggan tunding jari

Jumaat 20 Mei 2022 09:34

Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim ( JDT), Benjamin Mora,mampu menerima keputusan seri 2-2 dengan Sri Pahang FC sambil tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain di atas keciciran dua mata berharga di laman sendiri.

Beliau akur segalanya kurang menjadi dan mereka tidak berada di tahap terbaik yang menjadi penyumbang utama kepada kegagalan mereka menjinakkan Sri Pahang.

"Perlawanan ini sememangnya agak sukar kerana Sri Pahang bermula baik dan mereka banyak melakukan serangan berbahaya melalui pemain import dari Argentina (Manuel Hidalgo) dan pemain sayap lawan begitu pantas serta ada teknik yang baik.

"Malah, mereka menekan kami dengan agak baik dan segalanya agak kompleks di separuh masa pertama tetapi segalanya berubah di babak kedua kerana kami lebih banyak menyerang sebelum berjaya mendapatkan satu jaringan.

"Hari ini bukan sebab masalah formasi tetapi kami tidak bermain seperti yang diharapkan dan serta terlalu agresif dalam memberikan tekanan kepada lawan.

"Kami banyak kalah semasa bersaing dengan pemain lawan dan keadaan ini membuka situasi kepada keputusan seimbang 2-2," katanya.

Penyerang JDT, Bergson da Silva meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit 17 sebelum Saiful Jamaluddin menyamakan kedudukan pada minit 38.

Hidalgo memastikan Sri Pahang berada di hadapan pada minit 42 namun Bergson menyelamatkan maruah JDT melalui jaringan penalti pada minit 88.

Keputusan seri itu bagaimanapun tidak menghalang JDT untuk kekal berada di tangga teratas dengan 16 mata sementara Sri Pahang di tangga ke-8 dengan pungutan 8 mata.

Bagi ketua jurulatih Sri Pahang, Christoph Gamel, beliau anggap satu mata dari Stadium Sultan Ibrahim sebagai mata yang sangat berharga.

Tambahnya, dia juga berpuas hati prestasi pemainnya di bahagian pertahanan terutama Nicholas Swirad serta Hasnul Zaim Zafri yang berjaya menyerap baik tekanan diberikan oleh barisan serangan JDT.

"Kebanyakan pemain muda dalam pasukan ini belum ada pengalaman yang mencukupi tetapi mereka mampu ikuti perancangan perlawanan yang saya arahkan.

"Kami hanya 5 minit sahaja untuk merasai kegembiraan menang perlawanan malam ini tetapi saya beritahu pemain,saya tetap berpuas hati kerana berjaya membawa pulang satu mata di sini.

"Mereka ( Swirad, Hasnul) hampir berjaya memberikan persembahan penuh sempurna dan mampu boleh terapkan gaya permainan yang saya mahukan.

"Mereka berdua berjaya menyelamatkan banyak situasi berbahaya dan selepas perlawanan, mereka berjumpa dengan saya sambil akui apa yang saya rancangkan sangat menjadi," katanya.

(Foto JST FB)

Artikel Berkaitan

Penang raih kemenangan pertama Liga Super

09:25 23-06-2022

Penang hilang khidmat Casagrande

10:03 22-06-2022